Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR umum anak Nik Aziz, Nik Omar tanding di Perak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PKR hari ini mengumumkan anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar sebagai calon parti itu dalam PRU15 kali ini dan akan diletakkan di Perak.

Turut diumumkan adalah lima lagi calon parti itu, merangkumi ahli akademik, pemimpin belia dan bekas penjawat awam.

Pada PRU lalu, Nik Omar bertanding di DUN Chempaka di Kelantan di bawah tiket Amanah.

"Kami menunjukkan yang kami serius menampilkan calon yang berwibawa," kata Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Sidang media turut disertai timbalannya Rafizi Ramli dan enam daripada tujuh calon yang diumumkan.

Selain Nik Omar, calon lain yang diumumkan dan hadir adalah bekas setiausaha kerajaan Perak Zainal Azman Abu Seman, bekas naib canselor University Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Hassan Basri Awang Mat Dahan, pensyarah kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, bekas presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha dan aktivis hak kewarganegaraan di Sabah, Fathin Amelia Fazlie.

Seorang lagi calon adalah bekas CEO Lembaga Zakat Selangor Saipulyazan Yusop yang tidak hadir sidang media hari ini.

Anwar berkata setiap calon akan diletakkan di negeri tertentu namun pengumuman berkenaan kerusi yang akan ditandingi mereka akan dibuat pada Jumaat ini.

Seperti Nik Omar, Zainal juga akan diletakkan di Perak, manakala Hassan di Pahang, Noraishah (Wilayah Persekutuan), Saipulyazan (Selangor), Jufitri (Negeri Sembilan) dan Fathin (Perlis).

Jufitri sebelum ini dikatakan akan dicalonkan di Rembau untuk berdepan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Siapa di Ampang?

Sementara itu, Anwar berkata pengumuman untuk calon PKR di Ampang juga akan dibuat pada Jumaat ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas laporan memetik sumber yang menyatakan parti itu belum memutuskan sama ada untuk mencalonkan naib presiden Nurul Izzah Anwar atau Adun Batu Tiga Rodziah Ismail di kerusi yang disandang bekas pemimpin parti itu, Zuraida Kamaruddin.