Skip to main
Logo Malaysiakini

Latheefa: Parti politik turun padang, jangan bergantung data komputer saja

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Latheefa Koya memberi amaran kepada parti politik supaya tidak terlalu bergantung kepada data raya komputer dalam strategi dan pendekatan pilihan raya mereka.

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan kerbergantungan terhadap teknologi maklumat semata-mata boleh mengakibatkan beberapa segmen pengundi dan kumpulan kurang bernasib baik diabaikan.

Memetik pelaksanaan Undi18 yang menarik perhatian parti politik pemerintah dan pembangkang, Latheefa berkata data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menunjukkan pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun hanya berjumlah 1.4 juta orang daripada 21.17 juta jumlah pengundi keseluruhan.

Sebagai perbandingan, sebilangan besar pengundi atau tambahan 4.87 juta individu yang bukan dalam lingkungan umur 18 hingga 20 tahun bakal menjadi pengundi kali pertama di bawah pendaftaran pemilih automatik (AVR).

"Tetapi sejak dua tahun lalu, kami mendengar tentang ahli politik terus bercakap mengenai hak golongan muda. Ucapan, perbualan dan juga ciapan mereka yang sentiasa comel, bertujuan untuk memenuhi keperluan golongan muda," katanya.

Ini kerana, katanya parti politik dan ahli politik berkenaan merasakan golongan muda akan membuat perubahan dalam keputusan pilihan raya.

"Terdapat 4.87 juta pengundi baru yang tidak pernah bersusah payah mendaftar sebagai pemilih sebelum ini.

"Mungkin mereka berusia 30 tahun dan sehingga 70 tahun, dan mungkin mereka tidak berminat dengan politik sejak 10 tahun lalu," katanya.

"Jika kita menganalisis data ini, ahli politik mungkin dalam dilema. Adakah saya memberi tumpuan kepada mereka yang tidak pernah keluar mengundi atau adakah saya memberi tumpuan kepada orang muda, yang mungkin agak aktif, tetapi mereka hanya kira-kira sejuta lebih jumlahnya."

"Apabila seseorang mula bergantung pada data politik ini, maka perbualan, dasar dan janji akan mula direka bentuk sedemikian," katanya semasa menyampaikan ucaptama di webinar berjudul 'Bagaimana Data dan Algoritma Besar Mengukuhkan dan Mengancam Kebebasan, Keadilan dan Pembangunan'.

Selain pengundi muda dan pengundi kali pertama, Latheefa menyoal jika parti politik atau ahli politik mengambil berat tentang kebajikan dan kepentingan minoriti, pengundi wanita mahupun individu tanpa kerakyatan yang tinggal di kawasan mereka.

"Secara serius, walaupun data besar adalah penting, apabila seseorang bergantung sepenuhnya pada data raya dan algoritma, ia mungkin tidak membantu dalam usaha mendapatkan orang yang tepat untuk menyuarakan hak anda," katanya.

Latheefa percaya ahli politik telah secara beransur-ansur menggantikan kaedah turun padang dan memahami masalah rakyat kepada data raya dan media sosial.

"Pada asasnya kaedah bertemu pengundi dan memahami keperluan mereka telah digantikan dengan keupayaan komputer yang memproses nombor dengan pantas dan membuat kesimpulan yang tidak seimbang apabila ahli politik mengelilingi diri mereka dengan apa yang dipanggil analisis data raya, carta dan tinjauan," katanya.

Latheefa membuat kesimpulan itu berdasarkan penglibatannya dalam politik sebelum ini ketika menjadi ahli PKR dan menganggotai jawatankuasa eksekutif pusat parti itu.

"Semua ini menunjukkan bahawa terdapat kesan data raya terhadap demokrasi, keadilan dan kesaksamaan. Itulah pandangan saya terhadap parti politik khususnya dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Saya perhatikan betapa banyak pergantungan kepada pakar data raya ini dan angka analisisnya," kata Latheefa.

"Saya percaya bukan hanya satu parti politik, tetapi hampir setiap parti sedang melaluinya, terutamanya dalam era pasca pandemik, ada perasaan bahawa kita perlu bergantung pada data raya lebih daripada benar-benar turun bertemu rakyat," katanya.

Dia juga menegaskan tinjauan orang ramai yang dijalankan mungkin tidak menggambarkan dengan tepat apa yang difikirkan oleh responden apabila mereka ditanya parti mana yang mereka akan sokong pada pilihan raya umum (PRU).

"Kita perlu melihat konteksnya, adakah orang mungkin memberitahu anda perkara sebenar atau mereka hanya memberi anda sesuatu sebagai jenaka," tambahnya.

[Baca berita asal]