Anwar tak gentar gempur 'sarang singa' - Nga jawab Azmin
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mempertahankan keputusan Anwar Ibrahim untuk melancarkan pertempuran yang sangat penting di negeri itu dengan bertanding di Tambun.
Dia menjawab tuduhan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Azmin Ali bahawa pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memilih untuk tidak bertanding di Gombak kerana takut ditolak oleh pengundi Melayu.
Azmin ialah penyandang kerusi parlimen Gombak. Pada 2020, Azmin bersama sekumpulan ahli parlimen PKR berpaling tadah melalui Langkah Sheraton hingga meruntuhkan kerajaan persekutuan PH.
Bercakap kepada pemberita dalam bahasa Mandarin di luar lawatan Anwar ke kawasan parlimen Tambun, Nga berkata: "Pemimpin terulung ini menggunakan semangat beraninya untuk mencipta satu kejayaan."
“Azmin kata Anwar takut berdepan pengundi Melayu tetapi pengundi Melayu di Tambun membentuk hampir 60 peratus. Ini menunjukkan dia kurang pengetahuan umum.
“Semangat dan keberanian Anwar untuk memasuki sarang singa patut mendapat sanjungan dan sokongan kami. Ia membuktikan beliau seorang pemimpin rakyat,” katanya lagi.
Nga menegaskan Tambun telah menjadi kubu Umno selama lebih lima dekad sebelum jatuh kepada Bersatu pada pilihan raya umum lalu.
“Anwar cukup berani menyerang kubu ini. Beliau mempunyai kualiti penting untuk menjadi panglima tertinggi Pakatan Harapan,” katanya sambil menggesa pengundi menyokong calon perdana menteri gabungan itu.
Anwar dijangka menghadapi pertandingan pelbagai penjuru di Tambun, yang mana penyandangnya ialah bekas menteri besar Perak dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Bercakap pada satu majlis di Petaling Jaya malam tadi, Azmin mendakwa Anwar “lari” ke Tambun kerana mempunyai pengundi Melayu yang lebih sedikit berbanding Gombak.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang Mansor Othman melemparkan tuduhan yang sama terhadap Anwar.
Mansor yang juga bekas pemimpin PKR berkata Anwar yang pada mulanya berkata ingin "mengajar pengkhianat" parti itu dengan bertanding di salah satu kerusi yang disandang mereka pada PRU15 bertukar nada susulan cabaran dari Azmin.
"Apabila Azmin menjawab cabaran Anwar atau mana-mana ahli keluarganya untuk bertanding di Gombak, dia terus bertukar nada, mengelak dan enggan memberi komitmen...dan malah secara efektifnya cuba menutup subjek tersebut.
"Apakah ini contoh keberanian dan kualiti seorang pemimpin agung yang kononnya calon perdana menteri," soalnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai