Saya takkan lari walau badai taufan melanda - Ahmad Faizal
PRU15 | “Saya tidak akan lari ke mana-mana, saya akan kekal (bertanding) di situ (Parlimen Tambun) walau badai taufan datang melanda,” kata penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Presiden Bersatu itu berkata demikian bagi menegaskan pendiriannya yang dijangka berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, selepas gabungan itu mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Ahmad Faizal berkata jika PH menamakan Anwar, yang juga presiden PKR sebagai calon perdana menteri, beliau akan membawa dirinya sebagai anak jati yang akan berkhidmat untuk rakyat tempatan.
“Yang penting bukan sebab Anwar Ibrahim, bukan sebab Peja (Ahmad Faizal). Yang pentingnya adalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Forum Eksekutif Muda Global 2022 (FEMG22) di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.
Terdahulu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak yang juga Menteri Belia dan Sukan itu dalam ucapan penutup FEMG22 berkata beliau berharap agar golongan belia berusia 18 tahun ke atas dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi pada PRU15 ini.
“Inilah masanya para belia memilih pemimpin yang menerajui pentadbiran negara. Saya percaya para belia cukup matang untuk melaksanakan tanggungjawab ini demi kepentingan serrta masa hadapan yang lebih gemilang.
“Pilihlah pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan negara di tahap yang tertinggi,” katanya.
FEMG22 yang menyasarkan belia sektor awam di dalam dan luar negara dianjurkan sebagai platform dua hala antara pemimpin negara dan pemimpin muda sektor awam dalam menyuarakan pandangan bagi mencorak negara pada masa hadapan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai