Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: Tugas sukar buat Adam dan Fadhlina

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek dan Ketua AMK Adam Adli bakal membuat penampilan sulung mereka pada PRU15 ini.

Menurut sumber, Fadhlina akan diletakkan sebagai calon bagi parlimen Nibong Tebal.

Dia berkemungkinan akan menghadapi penyandang kerusi itu Mansor Othman, 72 yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang.

Mansor adalah kegemaran untuk mengekalkan kerusinya berdasarkan kedudukan dan pengalamannya.

Bagaimanapun, reputasi Mansor (gambar, atas) telah terjejas susulan mengikuti langkah Azmin berpaling tadah daripada PKR pada 2020.

Fadhlina, 45, seorang peguam dan ahli Dewan Negara. Tempohnya sebagai senator akan tamat pada Ogos 2024.

Bagi Adam pula, dia akan diletakkan sebagai calon parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka.

Dia akan menggantikan penyandang kerusi itu Shamsul Iskandar Md Akin (gambar, bawah) yang dikatakan bakal mencabar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di parlimen Bagan Datuk.

"Rancangan awal adalah untuk Adam bertanding di kerusi Nibong Tebal, tetapi ini telah diubah.

"Sekarang, Fadhlina akan ke Nibong Tebal manakala Adam akan bertanding di kerusi Hang Tuah Jaya," kata sumber.

Fadhlina dan Adam ialah anak jati Pulau Pinang.

Hang Tuah Jaya dimenangi oleh Shamsul Iskandar pada 2018 apabila meraih kemenangan selesa menguasai 53 peratus undi, menewaskan pemimpin veteran Umno Melaka Mohd Ali Rustam.

Kerja keras

Bagaimanapun, pada pilihan raya Melaka 2021, empat calon Pakatan Harapan dalam kawasan Hang Tuah Jaya hanya memperolehi keseluruhan 40 peratus undi.

Oleh itu, Adam dijangka terpaksa bekerja keras dengan tugasan sukar mengekalkan kemenangan PH di kerusi parlimen itu.

Adam, 33, bekas aktivis pelajar yang mempunyai ijazah perguruan dan pernah bekerja untuk beberapa organisasi masyarakat sivil. Dia menyertai politik sepenuh masa tahun lepas.

PKR dijangka mengumumkan pencalonan Adam dan Fadhlina secara rasmi esok.

Pun begitu, kedua-dua pemimpin muda PKR itu ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas mengenai pencalonan mereka, berkata mereka mahu menunggu pengumuman parti.