Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangkakan kejutan' - DAP Perak umum calon esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

DAP Perak dijangka akan memberikan "kejutan" apabila mengumumkan senarai calonnya esok.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mendedahkan pemimpin parti itu akan mengumumkan senarai calon bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi negeri itu pada jam 7.30 malam di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh esok.

Nga mendedahkan DAP akan bertanding satu kerusi tambahan masing-masing bagi kedua-dua parlimen dan negeri, dengan jumlah keseluruhannya lapan kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN.

“Kami akan bertanding di 27 kerusi secara keseluruhan. Ini merupakan kerusi terbanyak yang akan ditandingi DAP di Perak, sejak 20 tahun lalu," kata penyandang kerusi arlimen Teluk Intan itu selepas menghadiri Pesta Lei Cha bersama penduduk Khantan di Chemor, Perak.

Bagaimanapun, dia berkata, "kami mungkin akan membuat pengumuman mengejut esok."

“Kali ini, kami akan meletakkan calon yang berkualiti tinggi, berpendidikan tinggi dan sanggup berkorban.

"Mereka juga calon yang muda dan bertenaga," jelasnya.

Katanya lagi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga akan hadir pada majlis penting esok untuk membuat pengumuman itu.

Pada pilihan raya umum 2018, DAP menang di semua tujuh kerusi parlimen - Ipoh Timor, Ipoh Barat, Kampar, Batu Gajah, Teluk Intan, Beruas dan Taiping.

Parti itu menang 18 DUN tetapi kehilangan tiga kerusi selepas anggotanya berpaling tadah kemudian.