Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: Mujahid, Hatta Ramli pertahan Parlimen Parit Buntar dan Lumut

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa akan mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, dengan harapan dapat mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal keempat.

Pengerusi Amanah negeri, Asmuni Awi juga mengumumkan Setiausaha Agung parti itu, Mohd Hatta Ramli akan turut mempertahankan kerusi Parlimen Lumut.

Sementara itu, penyandang Adun Behrang, Aminuddin Zulkipli digugurkan dan digantikan oleh Ketua Pemuda Amanah negeri, Khairol Najib Hashim.

Khairol, 30, juga merupakan calon termuda daripada Amanah Perak.

Ditanya sama ada Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada allahyarham bekas Mursyidul Am, PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat masih ahli parti itu, Asmuni berkata dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu tentang itu, anda mesti tanya kepada kepimpinan PH," katanya kepada media di Wisma Amanah Perak, Ipoh hari ini.

Untuk rekod, Nik Omar menyertai Amanah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Nik Omar, yang merupakan bekas ahli PAS, bertanding di kerusi DUN Chempaka sebagai ahli Amanah pada PRU14.

Bagaimanapun, kali ini Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan Nik Omar telah diberikan kerusi di Perak.

Nik Omar adalah salah seorang daripada tujuh calon berprofil tinggi PKR yang akan bertanding di bawah tiket PH dalam pilihan raya umum bulan depan.