Skip to main
Logo Malaysiakini

Loke: DAP mahu jadikan PRU15 detik ubah persepsi Melayu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Menghadapi pilihan raya besar sebagai ketua DAP buat kali pertama, ada strategi jangka panjang dalam fikiran setiausaha agung parti itu, Anthony Loke.

Untuk permulaan, Loke mahu menggunakan PRU bulan depan sebagai peluang untuk DAP menawarkan barisan calon yang lebih berbilang kaum bagi mengemukakan naratif baru untuk parti itu.

Selama ini DAP sering digambarkan oleh lawannya sebagai parti "anti-Melayu" dan "anti-Islam”.

Untuk itu, Loke berkata DAP meletakkan lebih ramai calon Melayu untuk PRU kali ini, seperti Young Syefura Othman di Bentong, Syahredzan Johan di Bangi dan Sheikh Umar Bagharib Ali di Ayer Hitam.

“Di peringkat nasional, ini adalah naratif penting bagi kami kerana, mulai PRU ini, kami mahu mengunjurkan calon yang barisan berbilang kaum.

“Secara keseluruhan, saya mahu menjadikan PRU ini untuk mengubah imej DAP dari segi pencalonan parti. Sebab itulah anda akan melihat akan ada sejumlah calon Melayu.

“Kali ini, berbanding hanya seorang - iaitu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada PRU lalu - saya sudah mengumumkan tiga calon (parlimen) Melayu dan akan ada lagi menyusul dalam beberapa hari mendatang,” kata Loke kepada Malaysiakini dalam satu temu bual di ibu pejabat DAP semalam.

Lebih ramai wanita dicalonkan

Penyandang kerusi parlimen Seremban itu berkata demikian ketika menjelaskan sebab Young Syefura dipilih sebagai calon menggantikan penyandang kerusi parlimen Bentong, Wong Tack, untuk PRU ke-15.

Semalam, Loke memberitahu antara sebab DAP mencalonkan Young Syefura sebagai calon di Bentong ialah kerana ahli politik terbabit dilihat lebih popular dalam kalangan penduduk tempatan berbanding Wong.

Bekas menteri pengangkutan itu menjelaskan dia pernah memberitahu Wong tentang rancangannya sebelum ini.

"Sudah tentu, untuk melakukan itu saya tidak boleh meletakkan orang lain begitu saja.

"Mereka (calon pengganti) mestilah sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman dan pendedahan serta telah menunjukkan keikhlasan dan kerja mereka, dan Young Syefura mempunyai ciri yang diperlukan.

“Dia pernah menjadi Adun di sana, masih muda mempunyai profil kebangsaan.

"Young Syefura dipilih menjadi jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) dan dia juga seorang wanita, kerana kami juga mahu mempromosikan lebih ramai calon wanita dalam PRU kali ini,” kata Loke.

Daripada rundingan dalam Pakatan Harapan (PH) juga, DAP berjaya memperoleh tiga kerusi tambahan untuk ditandingi iaitu Gerik, Tanjong Karang dan Lipis.

Ketiga-tiga kerusi berkenaan sebelum ini ditandingi Bersatu yang ketika itu menjadi sebahagian daripada PH.

[Baca berita penuh]