Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat kes kabin kontena musnah di kediaman rasmi MB Kedah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian sebuah kabin musnah di kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, di Alor Setar yang disyaki disebabkan oleh jenayah khianat menggunakan bahan letupan dipercayai berlaku pada 16 Okt lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.49 petang, 18 Okt dan telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

"Satu siasatan ke tempat kejadian telah dijalankan dan mendapati terdapat kemusnahan yang teruk sebuah kabin kontena kosong yang dijadikan stor di bahagian belakang dalam pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah.

"Siasatan awal itu telah membawa kepada penemuan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan," katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

Wan Hassan berkata kesemua sampel yang ditemukan telah dihantar ke makmal bagi tujuan analisis lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian terbabit dan mereka yang mengetahui kejadian itu diminta tampil untuk memberi maklumat bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes berkenaan.

"Sebarang maklumat bolehlah disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes ASP Che Intan Subri menerusi talian 013-9329614 atau 04-7321222," katanya.

- Bernama