Husam 'pindah' ke PKR jadi calon di Pasir Mas
Bekas naib presiden Amanah Husam Musa akan bertanding sebagai calon PKR di Pasir Mas, Kelantan.
Perkara itu diumumkan pada majlis pengumuman calon PKR di Ampang, malam ini.
Ketika ditanya Malaysiakini mengenai keanggotaan partinya, Husam menjawab pemimpin Amanah telah dimaklumkan mengenai keputusannya “berpindah kepada PKR.”
“Keahlian, saya kena isi borang PKR,” katanya.
“Akan masuk (PKR),” jelasnya lagi.
Pasir Mas kerusi majoriti Melayu, yang menyaksikan PAS menang kerusi itu dengan majoriti besar dalam tiga pilihan raya umum sejak 2008.
"Saya rasa berat kerana bertanding di kubu kuat PAS, satu tempat di mana PAS menang majoriti yang besar.
"(Keputusan bertanding) ini berasaskan kepada sokongan kebanyakan rakyat terutamanya generasi muda. Mungkin dengan sokongan mood perubahan ini saya boleh sumbang kemenangan kepada PH," katanya.
Menjawab soalan jika tindakannya itu boleh merosakkan hubungan antara Amanah dan PKR, Husam memberi kiasan ia ibarat permainan bola sepak.
PH tak boleh hilang Husam
“Tengok mana posisi yang boleh memberi kemenangan.
“Saya harap Kellantan dan Terengganu dapat beri kemenangan pertama kepada PH,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengeluarkan kenyataan mengimbau persahabatannya yang lama dengan Husam sejak di zaman siswa.
"Justeru saya cukup mengenalinya. Husam ulat buku. Bacaannya luas sekali. Oleh demikian idea banyak, ori dan segar. Dalam beberapa hal agak mendahului zaman.
"Amalannya juga terjaga. Solat dan wirid sangat berdisiplin," katanya.
Menurut Saifuddin lagi hubungannya serasi dengan Husam yang meskipun mengakui pemimpin itu "ada kelemahan."
"Dia juga ada banyak kelebihan. Saya bersyukur akhirnya dapat membantu sedikit sebanyak meredakan 'sedikit ribut' yang beliau hadapi.
"PRU15 ini suatu pentas besar. PH tidak boleh kehilangan Husam," jelasnya lagi.
Pada PRU14, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menang kerusi parlimen Pasir Mas dalam pertandingan empat penjuru meraih 28,080 undi dengan majoriti 13,075.
Ahmad Fadhli menewaskan calon Umno Nor Azmawi Ab Rahman yang memperolehi 15,005 undi dan calon bebas Ibrahim Ali yang mendapat 5,373 undi.
Sementara itu, calon Bersatu Che Ujang Che Daud meraih 5,093 undi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai