Skip to main
Logo Malaysiakini

7 tahun lepas kubur Wang Kelian terdedah, penyeludupan orang terus wujud

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

LAPORAN KHAS | Tujuh tahun berlalu sejak terbongkarnya kubur massa imigran Rohingya di Wang Kelian, Perlis. Bukan saja datang di sebalik kegiatan itu tidak didakwa, tinjauan mendapati penyeludupan manusia di sempadan Malaysia - Thailand masih berterusan.

Penutupan sempadan antarabangsa dalam dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19 juga secara ironinya membuat sindiket terbabit semakin berani.

Mereka terus menyeludup etnik Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan atau penindasan ekonomi di Myanmar.

Pusat pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia di Wang Kelian, Perlis

Berbanding kegiatan itu aktif di sempadan Wang Kelian di Perlis, aktiviti pemerdagangan manusia kini beralih ke kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah, yang jaraknya kira-kira 65km.

Ketika ditemui, beberapa peneroka di Felda Bukit Tangga yang terletak di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia di Bukit Kayu Hitam menegaskan bahawa kegiatan pemerdagangan manusia masih berlaku di situ.

Bagaimanapun mereka yang menceritakan kegiatan tersebut kepada Malaysiakini enggan membenarkan nama masing-masing didedahkan atas faktor keselamatan.

Mereka berkata di beberapa kawasan, pendatang akan meredah sungai di ladang getah yang mengalir ke kedua-dua negara dan menjadikan saliran itu sebagai laluan masuk ke Malaysia.

Salah seorang peneroka terbabit yang hanya dikenali sebagai Ahmad menyifatkan kegiatan pemerdagangan itu sebagai "urusan harian" yang berlangsung di situ.

“Habislah saya kalau mereka tahu saya bercakap mengenai hal ini, tapi ia berlaku hampir setiap hari.

“Rangkaian mereka sangat baik hinggakan mereka boleh menyeludup orang ke negara kita melalui lorong tikus dan melarikan diri tanpa dikesan oleh anggota keselamatan," katanya.

Tambah Ahmad, dia memang takut untuk bercakap mengenai kegiatan berkenaan namun pada masa sama sedar, berdiam diri bukanlah tindakan yang betul kerana ia melibatkan isu keselamatan negara.

Peneroka Felda Bukit Tangga mendakwa kegiatan pemerdagangan orang adalah ‘urusan harian’ di situ

Seludup lembu pun berhenti

Di sebuah gerai kopi di Felda berkenaan, penduduk secara terbuka mengakui kegiatan pemerdagangan orang masih berjalan walaupun ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Kegiatan tersebut, dakwa mereka, berjalan dengan rapi sehinggakan ia sukar dikesan oleh orang ramai.

“Penyeludup lembu dan kambing pun takut untuk menyeludup haiwan itu semasa PKP dan menghentikan aktiviti mereka, tetapi penyeludup orang tetap terus bergerak.

“Ejen sindiket akan memastikan pendatang berkumpul di tempat strategik untuk diambil kenderaan tertentu sebelum mereka melarikan diri dari kawasan itu.

"Jika peneroka menyedari ada pendatang, memang mereka akan segera memaklumkannya kepada pasukan keselamatan," kata seorang lelaki kepada Malaysiakini.

Menurut penduduk setempat, pendatang asing memasuki negara ini melalui kebun getah di Bukit Kayu Hitam

Kata lelaki terbabit, sebelum ini beberapa pendatang yang tersesat dan mereka datang ke rumah penduduk setempat untuk mendapatkan bantuan.

Penduduk kampung biasanya akan memberikan mereka makanan, pakaian, kasut dan ubat-ubatan, namun memaklumkan pihak berkuasa selepas itu.

Seorang lagi lelaki berkata kegiatan pemerdagangan manusia dan kemasukan pendatang ke petempatan mereka adalah suatu rahsia yang diketahui ramai.

Sesetengah mereka, katanya, masuk ke negara ini dengan memotong pagar sempadan.

Pos PGA berhampiran sempasan Malaysia-Thai di Padang Besar, Perlis

Katanya ketika ini terdapat lima pos tentera dalam Felda Bukit Tangga dan setiap peneroka perlu menunjukkan kad pengenalan apabila memasuki ladang getah.

Ladang getah di kawasan berbukit bukau di sebelah pos tentera itu terletak kira-kira 2km dari sempadan Thailand-Malaysia.

Seorang pegawai Felda yang tidak mahu namanya disiarkan, mengakui aktiviti pemerdagangan manusia masih terus berjalan ketika ini namun pihak terbabit ditahan oleh pasukan keselamatan.

Pos tentera di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah

Jejak di Wang Kelian masih segar

Kira-kira 65 kilometer dari situ, di Wang Kelian yang menempatkan 139 kubur mengerikan serta 28 kem pendatang yang ditemui oleh pasukan keselamatan pada Mei 2015, suasana kini sunyi.

Penduduk kampung berkata, mereka tidak lagi mendengar sebarang aktiviti pemerdagangan manusia akhir-akhir ini, dan pasar Wang Kelian yang satu ketika dulu menjadi tumpuan pelancong, sudah berubah keadaannya.

Kompleks (gambar atas) yang pernah menempatkan pasar itu sedang dinaik taraf sesuai dengan rancangan kerajaan negeri mahu mengembalikan kerancakannya seperti suatu ketika dulu.

Kemeriahan pasar itu bukan saja menggamit kedatangan pelancong, bahkan dimanfaatkan oleh penduduk setempat sama ada dari Malaysia atau Thailand.

Beberapa dekad lalu, kerajaan kedua-dua negara bersetuju membenarkan rakyat masing-masing melakukan perjalanan sejauh 300 meter di kedua-dua belah sempadan tanpa dokumen, membolehkan mereka membeli-belah di kedua-dua belah kawasan.

Laluan yang digunakan pendatang asing di kaki bukit Wang Kelian masih bersih.

Apabila kegiatan pemerdagangan orang itu terbongkar, Malaysia menutup pasar Wang Kelian yang ketika itu menempatkan kira-kira 200 penjaja tempatan.

Pada masa sama pasar di negara jiran berterusan dan masih berkembang.

Walaupun penduduk tempatan mengatakan aktiviti pemerdagangan tiada lagi, laluan yang pernah digunakan oleh pendatang di kaki bukit Wang Kelian kelihatan masih tidak diselaputi tumbuhan walaupun selepas tujuh tahun kubur massa itu ditemui.

Terdapat juga uncang syampu yang baru digunakan (di bawah) dan botol minuman tonik kosong di kaki bukit, menunjukkan laluan itu mungkin masih digunakan.

11 orang dalam sebuah MyVi

Kebanyakan penahanan pendatang asing tanpa izin yang dibuat pihak berkuasa baru-baru ini, bagaimanapun, berlaku di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam.

Pada 17 Ogos lalu, Divisyen Kedua Infantri Malaysia, yang berpangkalan di di Bukit Kayu Hitam, berkata pihaknya menahan 12 warga Myanmar yang cuba masuk melalui sempadan di sana.

Dua belas pendatang dari Myanmar ditahan di kebun getah di Bukit Kayu Hitam pada 17 Ogos lalu

Pendatang berusia antara 20 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.20 pagi dalam operasi di ladang getah yang terletak berhampiran sempadan dan ia dikawal Briged Keenam Infantri Malaysia.

Pada Nov tahun lalu anggota keselamatan menahan tiga warga Myanmar di ladang getah berhampiran sempadan semasa rondaan pada jam 2 pagi, manakala dalam satu lagi serbuan, seramai 12 orang diberkas.

Menurut pihak berkuasa, pendatang terbabit - yang ditahan kira-kira jam 1 pagi - menyeberang ke ladang getah dengan memotong pagar sempadan sebelum bersembunyi di dalam semak.

Pun begitu dipercayai ramai yang dapat meninggalkan kawasan itu tanpa dikesan atau dibekas.

Botol minuman tonik dan kasut kelihatan di laluan yang pernah diguakan pendatang di Wang Kelian

Pada awal Sept lalu, 11 pendatang tanpa izin dapat menyeberangi sempadan negara selepas bersembunyi di dalam hutan berhampiran pusat pemeriksaan imigresen Bukit Kayu Hitam.

Sumber berkaitan agensi penguatkuasaan memberitahu Malaysiakini, pendatang terbabit menyorok di situ sementara menunggu lampu hijau diberikan anggota sindiket pengedar.

Pada waktu pagi, katanya, mereka dikumpulkan berhampiran stesen minyak dan disumbat ke dalam Perodua MyVi yang telah ditanggalkan tempat duduknya.

Mereka kemudian diangkut dalam perjalanan tanpa henti sejauh 600km untuk sampai ke Klang di Selangor.

Difahamkan sebahagian daripada mereka membayar sehingga RM5,000 kepada penyeludup untuk membolehkan mereka menyelinap masuk dari Myanmar ke Thailand dan kemudian ke Malaysia.

Pendatang tanpa izin bersembunyi dalam hutan atau longkang besar berhampiran kebun getah

Guna jeti haram di sempadan

Sejak kegiatan penyeludupan orang di Wang Kelian dibongkar, sindiket itu juga mula memindahkan operasi mereka ke sempadan Kelantan.

Di sana, Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata, mereka dibawa ke rumah transit sebelum diangkut ke bahagian lain di negara ini.

Menurut PGA, pendatang tanpa izin itu menyeberangi sempadan memasuki Kelantan melalui jeti haram dengan sesetengahnya yang membayar sehingga RM4,000 untuk seorang.

Pada April lalu, 22 lelaki dan dua wanita ditemui di sebuah rumah di Bunut Payong di Kota Bahru.

Pegawai PGA di situ, Supt Azhari Nusi, berkata warga asing terbabit disyaki mahu menuju ke Pulau Pinang.

Anggota polis membawa mayat dari kubur besar di Wang Kelian pada 2015

Di Bakong dekat Pasir Mas pada bulan yang sama, PGA menahan 17 pendatang asing kira-kira tengah malam ketika mereka menaiki MPV menuju ke Machang.

Individu yang bertanggungjawab membawa mereka itu dipercayai mengambil imigran terbabit dari jeti haram di Bakong.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 26 J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Sejak PGA mengambil alih tugas mengawasi dan meronda kawasan sempadan Kelantan, lebih 100 pendatang tanpa izin telah ditangkap dekat situ," kata Azhari.

Tetapi seperti di tapak kubur massa Wang Kelian, ketika pendatang tanpa izin yang diperdagangkan ditahan, anggota sindiket terbabit masih bergerak bebas.

Esok: Mengenang semula RCI Wang Kelian