Skip to main
Logo Malaysiakini

Hasni: Umno tanding 17 kerusi Parlimen di Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MCA dan MIC Johor masing-masing akan bertanding lapan dan satu kerusi parlimen di negeri itu pada PRU15, jumlah sama yang ditandingi kedua-duanya pada PRU14.

Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad berkata kerusi Parlimen Simpang Renggam yang ditinggalkan Gerakan akan ditandingi oleh Umno, menjadikan jumlah kerusi yang bakal ditandingi Umno Johor pada PRU15 ialah 17 berbanding 16 pada PRU lepas.

Pengarah Pilihan Raya BN Johor itu juga berkata BN negeri tidak akan melakukan sebarang pertukaran kerusi parlimen antara parti komponennya.

“Pembahagian kerusi tidak berbangkit di Johor, maknanya MCA, MIC kekal dengan jumlah kerusi (seperti) dalam PRU14 (iaitu) lapan (kerusi) MCA dan satu (kerusi) MIC,” kata Hasni kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Bengkel Penerangan Puteri Umno Johor di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di Johor Bahru hari ini.

Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata demikian ketika mengulas sekiranya akan berlaku pertukaran kerusi BN Johor susulan desas desus mengenai pertukaran kerusi antara parti-parti komponen.

Ketika diminta mengulas mengenai jumlah Adun Johor yang akan bertanding di kerusi parlimen, Adun Benut itu mengesahkan hanya dirinya akan bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon pada 5 Nov, diikuti pengundian awal pada 15 Nov dan hari mengundi pada 19 Nov.

-Bernama