Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa 20 projek tambak laut, pulau buatan dibatalkan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

NGO Gerakan Malaysia Tolak Tambak menggesa agar lebih 20 projek penambakan berskala besar dan pulau buatan yang dalam proses cadangan atau tergendala dibatalkan.

Jurucakapnya Khoo Salma Nasution berkata hal itu kerana projek tersebut memberi lebih banyak impak negatif berbanding faedah terhadap komuniti nelayan dan penduduk setempat, selain merosakkan ekosistem lautan serta menghasilkan jumlah karbon yang tinggi.

"Berdasarkan maklumat diterima, kami mendapati hampir semua projek pulau buatan boleh dikatakan kurang telus dari sudut kos dan faedah awam, kerana sifat projek mega yang bertujuan menswastakan kawasan perikanan kepada pemaju hartanah dan spekulator untuk kepentingan peribadi tertentu," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Malaysia Tolak Tambak di George Town, semalam.

Persidangan itu dihadiri lebih 60 wakil NGO alam sekitar antaranya Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan lain-lain yang menentang projek penambakan.

Khoo berkata kerja-kerja penambakan iaitu tebus guna tanah dan perlombongan pasir mengakibatkan kemusnahan kekal ekosistem laut dan kerosakan pesisir pantai.

''Projek pulau tiruan juga menafikan hak-hak nelayan untuk mencari rezeki iaitu komuniti yang bergantung dengan hasil laut juga akan terkesan dengan pengusiran komuniti tempatan dan kehilangan punca pendapatan,'' katanya.

Dia berkata dapatan yang diperoleh daripada persidangan hari ini akan diserahkan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat dengan projek penambakan serta kerajaan pusat.

-Bernama