Skip to main
Logo Malaysiakini

Peja nasihat Rafiq: Perjuangan parti atasi segala-galanya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menasihati naib presidennya Mohd Rafiq Naizamohideen supaya meletakkan perjuangan parti mengatasi segala-galanya susulan spekulasi bekas Adun Paya Rumput itu merancang untuk keluar parti.

Ahmad Faizal bagaimanapun menjelaskan dia hanya mengetahui khabar angin tersebut melalui laporan media mengenai perkara itu dan Mohd Rafiq tidak menghubungi.

"Saya tidak pasti sama ada ia benar. Saya memang sibuk hari ini dan saya tidak sempat menyemak telefon saya.

"Sekiranya dia menghubungi saya, saya akan nasihatkan supaya fokus kepada ahli dan rakyat, bukan diri sendiri.

"Apa jua kesusahan yang kita hadapi, jangan buat sebarang keputusan drastik," katanya kepada media selepas menghadiri program Senyum anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Mini Manjoi, Ipoh, petang semalam.

Mohd Rafiq (gambar, atas) dilaporkan akan mengadakan akhbar hari ini susulan khabar angin berkenaan.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan butiran lanjut apabila ditanya.

"Saya tidak boleh memberitahu perkara itu, tunggu esok," katanya, lapor Astro Awani semalam.

Gambar hiasan, Perkitaan Nasional.

Spekulasi bertiup kencang mengenai kemungkinan Mohd Rafiq akan keluar daripada Bersatu selepas dikatakan tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU ke-15 nanti, walaupun pengumuman rasmi oleh Perikatan Nasional (PN) belum dibuat.

Ia selepas PAS Melaka mengesahkan parti itu akan bertanding di kerusi tersebut serta kawasan Parlimen Jasin.

Timbalan Pengerusi PN Bahagian Jasin Kamarudin Sidek berkata keputusan itu telah dimuktamadkan pada mesyuarat majlis presiden gabungan itu yang dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Sementara itu Ahmad Faizal yang juga pengerusi PN Perak memberi bayangan PN negeri itu akan mengumumkan senarai calonnya sama ada pada 2 atau 3 Nov.

"Kita telah membuat keputusan, saya akan membuat pengumuman apabila tiba masanya. Kita akan mengumumkannya serentak.

"Kita sedang fiikirkan mungkin 2 atau 3 Nov, insya-Allah," katanya.