Skip to main
Logo Malaysiakini

Sokongan 'musuh' bukti keupayaan BN pimpin negara - Asyraf

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk memberikan sokongan kepada parti itu meskipun daripada pihak musuh, kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelasnya sokongan bekas menteri era Pakatan Harapan (PH) P Waytha Moorthy bukan bermakna parti itu menggadai prinsip perjuangannya.

Sebaliknya, sokongan yang tidak dijangka itu merupakan keyakinan pengasas Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu kepada BN yang selama ini menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum.

"Sokongan itu tidak bermakna Umno akan berkompromi pada apa-apa perkara yang menggugat perlembagaan.

"Atau memberi maksud Umno akan berkompromi jika ada tindakan mereka yang bercanggah dengan undang-undang sebelum ini.

"Sokongan Waythamoorthy kepada BN hari ini adalah kerana beliau yakin BN boleh menjaga kebajikan kaum India.

“Tapi sebenarnya tanpa Hindraf sekalipun, Umno dan BN selama ini sentiasa memberikan tumpuan kepada kebajikan kaum tersebut," katanya pada satu hantaran di Facebooknya.

Pada 27 Okt lalu, bekas menteri perpaduan itu menyatakan sokongannya kepada BN menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 bulan depan.

Waytha yang juga presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) berkata sokongan tersebut diberikan kepada BN selepas permintaannya untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tidak diendahkan.

Menurut Waytha, dia dan rakan-rakannya dari Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berkempen untuk membantu PH menang pada 2018.

“Selepas MAP ditubuhkan, malah selepas pentadbiran PH digulingkan, kami (MAP) memohon untuk dimasukkan ke dalam gabungan itu, untuk menyumbang sumbangan kami kepada masyarakat India," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Dalam pada itu Asyraf berkata BN sentiasa berjuang untuk semua kaum meskipun tidak meskipun gagal mendapatkan sokongan kumpulan tertentu.

"Inilah BN. Kami walau tanpa sokongan mana-mana pihak, tidak pernah berganjak untuk memastikan setiap kaum dapat bersaing dengan adil di negara kita.

“Dan semua ini dilakukan dalam keadaan BN sentiasa berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan mempertahankannya.

"Adalah sesuatu yang aneh bila Umno dituduh mengiktiraf Icerd hanya kerana Waytha Moorthy sudah menyokong BN. Sedangkan BN tidak pernah pun menyokong atau mengangkat Waythamoorthy sebagai calon kami di dalam PRU kali ini.

"Tetapi PN telah mengangkat Saifuddin (Abdullah) sebagai salah seorang calon pilihan raya mereka," katanya.

Asyraf mendakwa Saifuddin adalah menteri yang bertanggungjawab dalam usaha meratifikasikan Icerd sebelum ini, suatu hal yang dinafikan pengerusi PN Pahang itu.