Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M: Saya akan berkhidmat demi negara hingga nafas terakhir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

"Walaupun saya akan mati dalam proses ini, saya perlu melakukan kewajipan saya untuk negara saya," itu kata-kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun dia berkali-kali menyuarakan hasrat daripada politik, Mahathir berkata dia telah diminta oleh rakyat untuk kembali menyelamatkan negara daripada golongan kleptokrat.

Melalui wawancara bersama Sunday Star, pemimpin berusia 97 tahun itu mendedahkan dia tidak sampai hati untuk menolak mereka.

“Saya akan mementingkan diri sendiri untuk hanya memikirkan tentang diri saya saja dan bukan tentang negara.

"Saya telah mendedikasikan hidup saya untuk negara ini jadi jika orang meminta saya melakukan sesuatu untuk negara ini, saya tidak boleh hanya memberitahu mereka - maaf, saya menjaga kesihatan saya sendiri.

“Itu bukan jenis reaksi yang anda akan dapat daripada saya,” katanya seperti dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris itu.

Bekas pengerusi Pakatan Harapan itu turut membidas pihak tertentu yang mendakwa keyakinan terhadapnya merosot selepas dituduh tidak mahu membiarkan bekas rakan gabungannya Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri kelapan seperti yang dipersetujui.

“Apa yang saya lakukan sehingga menimbulkan ketidakpercayaan daripada rakyat? Adakah saya telah mencuri wang? Adakah saya telah rasuah? Cuba cari tahu!

“Mereka mengatakan bahawa saya mempunyai berbilion-bilion dolar – kemudian tunjukkan kepada saya mana berbilion-bilion itu.

“Kita boleh tunjukkan Najib (Razak) mempunyai berbilion dolar tetapi mereka yang mengatakan mereka tidak percaya saya tidak boleh menunjukkan satu sen pun kepunyaan saya. Saya tidak ada duit."

Anwar sebagai PM? Jangan ambil serius cakapnya

Mengenai Anwar menjadi perdana menteri ke-10 negara sekiranya Pakatan Harapan menawan semula Putrajaya, Mahathir berpendapat kata-kata bekas perdana menteri itu tidak perlu dipandang serius.

Dia mengingatkan orang ramai bahawa Anwar pernah mendakwa dia sudah pun menjadi perdana menteri dan Muhyiddin Yassin tidak akan menerajui jawatan itu.

“Tetapi ternyata Anwar belum lagi menjadi perdana menteri.

"Dia telah memberitahu orang ramai bahawa dia akan menjadi perdana menteri seterusnya sebanyak empat kali."

Mahathir tidak fikir Anwar mampu mengendalikan ekonomi negara, memetik tempoh presiden PKR itu dilantik sebagai perdana menteri pada 1997 tetapi dia "gagal sepenuhnya".

“Apabila kita mengalami Krisis Kewangan Asia pada 1997, apa yang Anwar mahu lakukan ialah mengikut Michel Camdessus [bekas pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa].

“Jika dia berbuat demikian, negara ini pasti bankrap.

"Anwar hanya pandai mengkritik orang lain tetapi tidak pandai melakukan sesuatu sendiri."

Ditanya sama ada Anwar akan bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk menjadi perdana menteri atau tidak, Mahathir berkata ketua pembangkang itu akan melakukan apa sahaja.

“Dengan Anwar, sentiasa ada kemungkinan. Jika mereka berjanji untuk menjadikannya perdana menteri, dia akan melakukan apa sahaja.”