Ketua pemuda: PH akan anggap manifesto macam 'kitab suci'
PH akan menanggapi tawaran dan manifestonya dalam PRU15 seperti sebuah "kitab suci", kata ketua pemuda gabungan itu Kelvin Yii.
Yii jelas merujuk kenyataan bekas pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang pernah mengatakan manifesto gabungan itu bukan "kitab suci" yang wajib dipatuhi.
Dia berkata kenyataan Mahathir yang dibuat pada 2018 itu adalah pandangan peribadi bekas perdana menteri dan tidak dikongsi oleh pihak lain dalam PH.
"Bila kita sebut tentang manifesto ada sedikit sentimen negatif. Pemimpin terdahulu ada kata manifesto bukan kitab suci.
"Tetapi kami ingin meyakinkan rakyat bahawa kami akan mengambil semua tawaran dan manifesto PH sebagai kitab suci kerana inilah janji kami kepada rakyat," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Tawaran Anak Muda Harapan di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Yii berkata lagi, PH di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim akan mengambil berat setiap tawaran yang akan dimasukkan dalam manifesto PRU kali ini.
Antara isu yang disentuh dalam manifesto PH pada PRU lalu adalah kos sara hidup dan hutang PTPTN - yang dilihat beberapa pihak sebagai tidak realistik.
PH belum membentangkan manifesto untuk PRU kali ini namun acara hari ini membayangkan beberapa perkara, terutama membabitkan golongan muda, yang akan dimasukkan.
Lima perkara yang dinyatakan hari ini adalah:
Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) untuk memberi lebih autonomi kepada institusi pendidikan tinggi
Harga tiket penerbangan yang standard kepada pelajar ketika musim cuti
Perumahan mampu milik untuk golongan muda
Pewartaaan akta berkenaan perubahan iklim
Menggalakkan keusahawanan di kalangan golongan muda
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai