Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengerusi Muda Perak mohon maaf umum diri calon di Tapah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Muda Perak Mutalib Uthman memohon maaf atas kenyataan akan bertanding di Parlimen Tapah, semalam.

Dalam satu hantaran Facebook malam tadi, Mutalib mengakui kesalahannya dan akur bahawa kerusi itu akan ditandingi PKR.

"Saya memohon maaf di atas segeala kekhilafan yang telah berlaku. Mengaku salah dan mohon maaf, petanda jiwa yang berani," katanya.

Kenyataan Mutalib berhubung pencalonannya semalam segera dinafikan kepimpinan Muda yang menyatakan parti itu komited untuk mengelakkan sebarang pertembungan dengan PH.

Parlimen Tapah disandang Timbalan Presiden MIC M Saravanan. Pada PRU lalu, dia mempertahankan kemenangannya hanya dengan majoriti 614 undi.

Ketika itu, dia meraih 44.5 peratus daripada undi yang dibuang.

Mutalib berkata dia dia tetap akan bertanding dalam PRU15.

"Saya akan bertanding di kerusi luar bandar dan kerusi milik menteri yang lain.

"Ini selaras dengan perjuangan Muda dalam PRU15 ini, bertanding di kerusi luar bandar dan ‘Muda lawan menteri'," katanya lagi.

Semua kerusi Parlimen di Perak telah diperuntukkan kepada parti komponen PH.

Selain Tapah, PKR juga menuntut untuk bertanding di Sungai Siput dan Sembrong - dua kerusi yang masih dalam rundingan dengan Muda dan PSM setakat semalam.