Skip to main
Logo Malaysiakini

'Calon Melayu DAP sekadar boneka, diberi kerusi sukar menang'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika DAP menamakan lebih ramai calon Melayu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini, naib presiden Umno Mahdzir Khalid memberi amaran bahawa langkah itu adalah semata-mata untuk memenuhi konsep kepelbagaian kaum parti itu.

Malah, Mahdzir berkata pemilihan calon Melayu di kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sukar dimenangi itu juga sekadar untuk mengaburi mata masyarakat untuk meraih undi.

“Ini sebahagian dari taktik menunjukkan ia parti pelbagai kaum. Walhal, kita semua tahu bahawa semua keputusan penting dilakukan oleh sekumpulan orang. Mereka ini mempunyai pemikiran yang agak cenderung kepada masyarakat Cina.

“Mereka boleh kata bahawa mereka telah melakukan pencalonan wakil Melayu. Sekiranya calon itu kalah, mereka tetap akan menggambarkan bahawa parti sudah mengambil langkah memberikan kedudukan sama rata kepada semua kaum,” katanya dipetik Buletin TV3.

Mahdzir berkata demikian pada majlis Perasmian Himpunan Anggota Kumpulan Pelaksana dan Pesara Kumpulan Pelaksana Pendidikan Padang Terap dan Ketua-Ketua Pembantu Tadbir Peringkat Negeri Kedah, semalam.

Setakat ini, DAP telah mengumumkan enam calon Melayu untuk parlimen - Syahredzan Johan di Bangi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Lipis, Sheikh Umar Bagharib Ali di Ayer Hitam, Syefura Othman Muda di Bentong, Zulhazmi Shariff di Jerai, Fatin Zulaikha Zaidi di Mersing dan Syerleena Abdul Rashid di Bukit Bendera.

Daripada enam calon tersebut, tiga daripadanya adalah kerusi yang dimenangi oleh PH pada PRU14 lalu - Bangi, Bentong dan Bukit Bendera.