Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada lagi larangan pakai sari, ceongsam ke konvokesyen UKM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Universiti Kebangsaan Malaysia telah menarik semula garis panduan kod pakaian majlis konvokesyennya, susulan kenyataan awal yang melarang hadirin daripada memakai sari atau ceongsam.

Garis panduan baharu itu kini menyatakan bahawa graduan dan tetamu kini boleh memakai "baju kebangsaan" dan tidak menyatakan jenis yang dibenarkan atau dilarang.

Mengikut garis panduan baharu itu, graduan wanita mesti memakai "baju kebangsaan / baju kurung / lounge suit / pakaian berlengan panjang berserta kain labuh atu berseluar panjang warna gelap sehingga ke paras buku lali yang sopan, bertutup penuh dan bersesuaian untuk protokol majlis rasmi dan istiadat konvokesyen.”

Graduan lelaki pula kini dibenarkan memakai sebarang bentuk "baju kebangsaan / lounge suit / kemeja lengan panjang berserta tali leher dan seluar panjang warna gelap sehingga ke paras buku lali yang sopan, bertutup penuh dan bersesuaian untuk protokol majlis rasmi dan istiadat konvokesyen”.

Sebelum ini, garis panduan bergambar untuk graduan wanita memaparkan sari dan ceongsam tidak dibenarkan manakala pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung dan baju kebaya adalah dibenarkan.

Pakaian lain yang tidak dibenarkan termasuk blaus tanpa lengan, skirt singkat berbelah, seluar jeans dan kemeja-T.

Garis panduan bergambar itu juga menyatakan bahawa graduan lelaki mesti memakai sama ada lounge suit, baju Melayu bersampin atau baju lengan panjang bertali leher dan berseluar gelap.

Garis panduan itu kemudian dipadamkan tanpa sebarang notis daripada laman web UKM susulan bantahan yang meluas di media sosial.

Universiti itu juga membisu berhubung permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan ulasan.