Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramai pekerja kontrak k'jaan tak dapat gaji minimum RM1,500 - PSM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli jawatankuasa pusat PSM, Rani Rasiah mendakwa kerajaan merupakan pembayar yang teruk, justeru meletakkan pekerja kontrak seperti tukang cuci terus menerima pendapatan bulanan yang tidak seberapa iaitu RM1,100.

Ini disebalik pewartaan Perintah Gaji Minimum 2022 yang menetapkan gaji baru RM1,500 sebulan kepada pekerja di seluruh Malaysia mulai 1 Mei 2022.

Rani memberikan contoh nasib Siti (bukan nama sebenar), seorang tukang cuci di sebuah sekolah di pedalaman Perak yang masih memperoleh gaji minimum RM1,100 kadar ditetapkan pada 2019.

"Siti bergelut untuk menampung kehidupan tetapi dia tidak berani merungut kerana bimbang kehilangan pendapatan tunggal yang membolehkannya menyara keluarga, nasib yang tidak berbeza dengan banyak keluarga dalam sektor ini," kata Rani kepada Malaysiakini.

Gambar fail, protes pekerja pembersihan sekolah.

Siti pada mesejnya kepada wartawan Malaysiakini berkata punca pendapatannya yang tidak seberapa dalam masa sama menanggung beban tanggungan yang besar.

Jelasnya, dia tidak berani menyuarakan permasalahannya mengenai isu gaji kerana bimbang dibuang kerja.

"Saya sangat risau. Saya pencari nafkah tunggal keluarga. Ibu menghidap kanser. Suami saya diserang angin ahmar.

“Kanak-kanak sedang bersekolah. Jika saya dipecat, saya tidak mempunyai sumber pendapatan lain.”

Menurut Rani lagi, Siti sepatutnya memperoleh RM1,500 mulai Mei tahun ini dan gaji minimum telah menyaksikan dua pelarasan sejak ditetapkan pada RM1,100.

Meskipun situasi Siti ini tidak dihadapi semua isi rumah B20 di Malaysia, tetapi Rani menyoal mengapa beberapa kementerian terus menggunakan amalan yang menindas pekerja ini dengan mengingkari undang-undang atas alasan demi melindungi golongan miskin.

Siti merupakan salah seorang daripada 250,000 pembersih kontrak dan pengawal keselamatan yang bekerja di 10,800 sekolah awam dan 148 hospital awam di negara ini, menurut Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Kata Rani, 50 peratus daripada golongan pekerja ini menderita kekurangan wang setiap bulan kerana mereka tidak dibayar berdasarkan gaji minimum.

Bukan itu sahaja, malah tukang cuci dan pengawal keselamatan yang bekerja di bangunan kerajaan di Putrajaya, juga kata pemimpin PSM itu tidak menerima kenaikan gaji dwitahunan yang diwajibkan secara sah.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan berkata akan membangkitkan permasalahan pekerja kontrak tidak dibayar gaji minimum ini kepada badan antarabangsa.

Menurut kesatuan sekerja, kira-kira 100,000 pekerja kontrak di kemudahan kerajaan dinafikan hak menerima gaji minimum.

[Baca berita asal]