Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Calon positif Covid-19 perlu asingkan diri ketika kempen

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon bertanding yang dijangkiti Covid-19 ketika tempoh kempen tetap perlu diasingkan, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, calon tersebut boleh menjalankan kempen secara dalam talian sepanjang tempoh tersebut.

"Itu langkah yang bertanggungjawab yang perlu dilakukan. Jika anda calon dan positif (Covid-19), anda perlu asingkan diri beberapa hari.

"Anda masin boleh kempen secara dalam talian. Anda ada dua minggu untuk berkempen dan tiga, empat hari untuk sembuh," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Khairy menjelaskan calon yang dijangkiti Covid-19 tidak perlu mengasingkan diri ketika mahu keluar mengundi pada hari mengundi.

"Calon yang positif dibenarkan untuk mengundi seperti pengundi lain yang positif.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan umumkan peraturan (mengundi) untuk mereka yang positif," katanya.

Dalam PRN Johor awal tahun ini, mereka yang positif Covid-19 dilarang untuk mengundi.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kalangan yang dijangkiti wabak itu tetapi bukan dalam keadaan kritikal boleh mengundi pada PRU15.

Mengulas lanjut, Khairy berkata Kementerian Kesihatan telah memberikan syor kepada SPR untuk pelaksanaan proses mengundi yang selamat dan ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, dia enggan mengulas panjang soalan pemberita berhubung pencalonannya.

"Semua keputusan berkenaan calon ini biarlah diumumkan pucuk pimpinan parti. Saya terima mana-mana kawasan yang diberikan kepada saya," katanya.

Khairy yang merupakan penyandang kerusi parlimen Rembau dikatakan akan diletakkan di parlimen Sungai Buloh, manakala Rembau pula akan ditandingi Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.