Skip to main
Logo Malaysiakini

PSM: Kami kekal relevan selagi ada kemiskinan dan ketaksamaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata mereka tetap akan meneruskan perjuangan walaupun setelah kegagalan rundingan kerjasama pilihan raya dengan PH.

"Selagi ada ketidaksamarataan, kemiskinan, krisis iklim dan agihan kekayaan yang tidak seimbang, maka kewujudan kami adalah relevan.

"Perjuangan kami adalah jauh lebih besar daripada bertanding dalam PRU setiap 5 tahun.

"Inilah sebabnya kami tidak hanya wujud semasa PRU tetapi kami mempunyai agenda dan mandat untuk menukar sistem yang sedia ada demi membawa kesejahteraan kepada rakyat terbanyak yang terdiri daripada semua kaum dan agama," katanya dalam soal jawab yang disiarkan di laman sosialis.net.

Arutchelvan berkata dia kecewa dengan kegagalan rundingan itu tetapi ia tidak dapat dibandingkan dengan kekecewaan yang dirasai ramai rakyat Malaysia, termasuk penyokong PH, yang mahu melihat PSM bersama-sama gabungan itu melawan parti lain.

Mengulas berkenaan rundingan itu, dia menafikan kegagalan berpunca daripada PSM yang hanya meminta kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandang PH dan tidak meminta kerusi lain.

S Arutchelvan

"Kami juga ada meminta dua lagi kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN – kesemuanya ialah kerusi yang PH kalah dalam PRU lalu.

"Namun, secara minimumnya kami hanya meminta satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN. Semua rundingan ada dirakam oleh PH, maka jika ada orang mempertikaikan perkara ini, bolehlah meminta PH untuk mendedahkan rakaman tersebut," katanya.

Jeyakumar calon terbaik untuk Sungai Siput

Sejak sekian lama, Parlimen Sungai Siput adalah kubu kuat MIC - dengan dua presidennya VT Sambanthan dan S Samy Vellu memegang kerusi itu selama lebih 50 tahun.

Namun, pada 2008 Samy Vellu ditewaskan Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang bertanding di bawah tiket PKR.

Jeyakumar mempertahankan kemenangannya pada PRU 2013 namun kalah teruk pada PRU lalu di tangan S Kesavan dari PKR. Ketika itu, Jeyakumar bertanding menggunakan tiket PSM.

Arutchelvan berkata pada PRU kali ini, PSM bersedia untuk menggunakan logo sama dengan PH.

"Oleh itu, persoalannya ialah siapakah calon terbaik? Rata-rata ramai orang, termasuk NGO, pemerhati politik, kajian wartawan malah pencabar utama PH di Sungai Siput iaitu MIC, melihat Dr Jeyakumar sebagai calon yang lebih baik

"Selain daripada mempunyai rekod kerja dan imej yang baik, Dr Jeyakumar juga ialah orang yang telah mempopularkan logo PKR di Sungai Siput sejak tahun 2004, di mana pada masa itu, PSM tidak didaftar lagi dan PKR juga langsung tidak ada pengikut di Sungai Siput," katanya.

Dia turut membangkitkan beberapa isu peribadi yang mungkin menjejaskan calon PH kali ini, dipercayai merujuk kepada saman berkaitan gangguan seksual yang difailkan terhadap Kesavan sebelum ini.

"Dengan melihat semua ini, tiada bandingan lagi siapa calon yang lebih baik dan mempunyai peluang terbaik untuk menang.

"Yang anehnya, kita sering mendengar bahawa Anwar dan Rafizi mencari calon yang ada kewibawaan untuk menang, tetapi alasan mereka untuk enggan melepaskan kerusi ini akhirnya ialah ini kerusi milik mereka," katanya.

Mengambil kira perkembangan itu, Arutchelvan berkata PSM akan mengambil sedikit masa untuk memutuskan langkah seterusnya.

"Memandangkan PSM tidak ada dalam pakatan pilihan raya dengan PH lagi, maka kami adalah bebas untuk bertanding atau menyokong mana-mana individu atau parti dalam PRU nanti.

"Kita hanya ada lima hari lagi sebelum hari penamaan calon. Selepas itu, hanya dua minggu untuk berkempen. Semuanya akan berakhir dalam tempoh masa kurang daripada 20 hari.

"Sebagai parti yang tidak mempunyai sokongan daripada golongan kapitalis di belakang, maka kami akan memutuskan dalam sehari dua ini tentang apa yang kami akan buat dan sama ada kami akan bertanding dalam PRU ini.

"Namun, kami merasakan bahawa adalah tanggungjawab dan kewajipan kami untuk mengetengahkan keluhan dan suara rakyat marhaen semasa PRU ini," katanya lagi.

PSM tak akan merayu

Dia berkata banyak pihak berpandangan PH adalah gabungan terbaik untuk disertai PSM.

"PSM pula mengambil keputusan untuk tidak menyertai PH tetapi meminta kerjasama pilihan raya untuk memenuhi permintaan popular ini. Ada juga penyokong PH yang memberi idea bahawa kami kena berjumpa dengan Anwar dan Rafizi atau kepimpinan tertinggi PH untuk meminta kerusi.

"Ada pula berkata kena berjumpa dengan beberapa orang jutawan yang menaja PH untuk mendapatkan kerusi. Namun, selain daripada saluran rasmi surat-menyurat dan hantaran teks, PSM tidak mengambil sebarang inisiatif tambahan untuk berjumpa dengan penaja PH atau kepimpinan tertinggi PH untuk dapatkan kerusi.

"PSM terdiri daripada aktivis-aktivis rakyat yang terkenal dengan prinsip dan semangat perjuangan. Meminta sedekah kerusi bukanlah budaya PSM," katanya lagi.