Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas calon PRU14 antara 10 ditahan kes pemerdagangan manusia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis menahan seorang bekas ahli politik yang pernah bertanding dalam PRU14 kerana disyaki terlibat dalam kes pemerdangan manusia iaitu eksploitasi buruh yang terbongkar menerusi beberapa siri serbuan di Pulau Pinang dan Kedah sejak 27 Okt lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki yang mengaku sebagai Datuk dan berusia 50-an itu ditahan di rumahnya di Daerah Timur Laut, di George Town pada 8.25 malam semalam susulan penahanan 10 individu lain dalam siri beberapa siri serbuan.

"Bertindak hasil maklumat dan risikan sejak dua minggu lepas, polis menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah premis rumah kedai di Simpang Ampat, Nibong Tebal pada 27 Okt dan menyelamatkan tujuh mangsa di situ yang dijadikan pusat pemulihan dadah dan alkohol.

"Beberapa lagi serbuan dijalankan oleh polis kontijen Pulau Pinang dan Kedah telah membuat tangkapan ke atas enam lelaki dan seorang wanita serta berjaya menyelamatkan tiga lagi lelaki sebelum menyerbu rumah di Timur Laut dan menahan Datuk itu bersama seorang wanita dan (seorang) lelaki serta selamatkan tiga lelaki," katanya pada sidang akhbar di George Town, hari ini.

Katanya mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita iaitu terdiri daripada penjaga dan pekerja di pusat pemulihan itu manakala mangsa yang diselamatkan ialah lelaki dan kesemuanya mereka berusia 22 hingga 62 tahun.

Mohd Shuhaily berkata siasatan awal mendapati lelaki yang dipercayai dalang utama sindiket itu merupakan pengasas pusat berkenaan dan dia tewas ketika bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN di Pulau Pinang semasa PRU14.

Katanya pihaknya juga mendapati pusat pemulihan itu beroperasi sejak dua tahun lepas namun pemeriksaan mendapati tidak berdaftar dengan mana-mana jabatan kerajaan.

Menurutnya, semua mangsa mendakwa mereka diseksa, dipukul dan dipaksa untuk bekerja tanpa diberi bayaran gaji serta cuti malah turut diikat dengan rantai besi dengan diberikan makanan yang sedikit sahaja dan pusat tersebut dilengkapi kamera litar tertutup bagi memantau pergerakan mereka.

"Kami turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah komputer riba, sembilan buah telefon bimbit, dua utas rantai besi, sebatang paip PVC dan dua batang besi penyambung katil," katanya.

Mohd Shuhaily berkata semua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2010 (Atipsom) 2007.

-Bernama