Skip to main
Logo Malaysiakini

BN, PN umum calon PRU15 malam esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BN dan Perikatan Nasional (PN) akhirnya akan mengumumkan calon masing-masing bagi PRU15, esok.

Menurut surat yang dikeluarkan Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Shafri Ab Aziz hari ini, BN akan mengumumkan calonnya dalam satu program di WTC Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam esok.

Menurut surat itu, pengumuman akan dibuat Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

PN juga menerusi surat serupa berkata pengumuman calon gabungan itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), juga malam esok.

Acara itu dijadual bermula jam 7.45 malam dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dijangka tiba pada jam 8.15 malam.

Perkembangan ini selepas PH dan parti-parti pembangkang lain telah mula mengumumkan calon-calon mereka.

Terdahulu, ramai tertanya-tanya berkenaan apa yang dilihat sebagai kelambatan BN dalam mengumumkan calonnya pada PRU kali ini.

Beberapa sumber Umno dan BN ketika dihubungi Malaysiakini berkata ini kerana pucuk pimpinan gabungan itu bimbang tindakan mengumumkan calon lebih awal mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati dan malas sabotaj dalam kalangan ahli.

Kata mereka, ia selepas kenyataan Ahmad Zahid baru-baru ini bahawa 70 peratus calon BN adalah muka baru, justeru menyebabkan ada pemimpin yang merasakan mereka akan digugurkan kali ini.

"Sebenarnya, kebanyakan kerusi telah pun selesai. Calonnya telah dikenal pasti. Namun, masih ada beberapa kerusi belum menetapkan calon.

"Ini kerana kenyataan Zahid itu merisaukan kebanyakan bekas calon dan juga ketua-ketua bahagian. Jadi, ada bantahan di peringkat bahagian, khususnya di Selangor.

"Ini yang membimbangkan pucuk pimpinan untuk mengumumkan calon," kata seorang sumber.

Dia berkat lagi, kenyataan Pengerusi BN Selangor Noh Omar bahawa dia merupakan satu-satunya muka lama yang akan bertanding di Selangor meningkatkan lagi kebimbangan itu.

Sumber berkata calon juga telah diminta hadir ke Kuala Lumpur untuk menandatangani aku janji semalam.

Sementara itu, seorang lagi sumber BN berkata bahawa selain sabotaj dalaman, ada juga kebimbangan pemimpin Umno yang tidak tercalon akan menyertai parti lain.

"Terdapat kemungkinan pemimpin yang tidak dapat calon di Umno boleh lompat ke parti lain untuk bertanding.

"Ini juga salah satu sebab BN sengaja melambatkan pengumuman calon agar parti-parti lain buat pengumuman dulu.

"Ini akan memastikan pemimpin-pemimpin Umno yang ingin menjadi calon bagi parti lain tidak ada peluang bertanding," katanya.