Skip to main
Logo Malaysiakini

'Muda lawan menteri' - matlamat parti jadi 'penyembelih gergasi'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Matlamat utama Muda pada PRU15 nampaknya adalah menjadi 'giant slayer' atau ‘penyembelih gergasi’ - iaitu menumbangkan ‘nama-nama besar’ terutama menteri dan timbalan menteri.

Sementara matlamat "Muda lawan menteri" dilihat suatu perkara yang sukar, tetapi ini bukanlah mustahil di sebahagian kerusi yang ditandingi parti baru itu.

Antara empat kerusi yang ditandingi selain Muar, data daripada PRU lalu menunjukkan terdapat dua kerusi hampir boleh menang untuk Muda.

Ini terutama jika PH dan juga Muda dapat mengekalkan trend meraih sokongan pengundi baru, yang ramai jumlahnya kali ini ekoran pelaksanaan pendaftaran secara automatik.

Antara kerusi tersebut adalah Tanjong Karang. Menjadi kubu kuat BN sejak 1974, sokongan terhadap penyandangnya, Noh Omar dilihat kian merosot tahun demi tahun.

Noh pertama kali menang di situ dengan meraih 68.3 peratus undi (majoriti 15,818 undi) pada PRU 1995, majoritinya pada PRU lalu hanyalah 1,970 undi, dengan 43.45 peratus undi diraih.

Jumlah pengundi BN secara relatifnya sama sejak 2004, iaitu sekitar 16,000 dan tidak lebih 18,000, kecuali peningkatan sebanyak 20,548 pada 2013 sebelum menurun semula kepada sekitar 17,500 pada 2018.

Penurunan sebanyak kira-kira 3,000 undi pada 2018 itu berlaku walaupun terdapat tambahan 5,000 undi dibuang di kawasan Parlimen itu.

Undi pembangkang pada 2018 pecah antara Bersatu dan PAS - yang masing-masing mendapat 15,626 dan 7,276 undi.

Dengan mengandaikan 3,000 undi yang terlepas dari BN pergi ke Bersatu dan akan kekal atau beralih ke Pejuang mahupun kembali kepada BN - boleh diandaikan Muda dan PH akan bermula dengan 12,000 undi pada PRU15.

Dengan lebih 15,000 pengundi baru di situ dan Muda dapat meraih sokongan mereka, kemenangan di kerusi Parlimen Tanjong Karang adalah tidak mustahil.

Setakat Februari tahun ini, separuh daripada pengundi Tanjong Karang berusia antara 18 hingga 39 tahun, yang memang merupakan sasaran demografi pengundi Muda dan PH.

Corak yang sama dapat dilihat di kerusi Parlimen Tanjung Piai dan selatan Johor.

Sementara penyandangnya, Wee Jeck Seng tidak mengalami kemerosotan sokongan yang ketara, bilangan pengundi BN tidak bertambah melangkau 23,000 hingga 25,000 sejak 2004.

Di pihak pembangkang pula, sokongan terhadap mereka bertambah dari 4,431 undi pada 2004 kepada 21,225 undi pada 2018.

Malah ketika PRK pada 2019 di mana BN menang besar dengan 15,086 undi, sokongan terhadap Wee dan BN kekal pada kadar 25,000.

Ketika itu, kekalahan PH disebabkan kemarahan pengundi terutama orang bukan Melayu dan peratus keluar mengundi yang rendah - hampir kurang 15,000 undi.

Namun jika PH dan Muda dapat meraih semula sokongan mereka, selain kekal meraih sokongan pengundi baru - lebih 18,000 di Tanjung Piai - tidak mustahil untuk merampas kerusi itu daripada BN.

Namun, Muda dan PH pada masa sama perlu meraih sedikit undi Melayu untuk mencapai matlamat itu.

Bagaimanapun perlawanan Muda menjadi lebih sukar di kerusi-kerusi lain.

Di Kepala Batas, sementara penyandangnya Reezal Merican Naina Merican hanya menang dengan 42.9 undi popular pada 2018, PN mungkin menjadi faktor penghalang kepada kemenangan Muda.

Ini kerana PAS mempunyai tapak yang kukuh di situ - parti itu meraih 23.2 peratus undi pada PRU lalu. Sokongan itu mungkin akan bertambah dengan penyokong Bersatu.

Muda dan PH perlu meraih sokongan agak besar daripada 22,000 pengundi baru di Kepala Batas untuk mempunyai peluang menang di situ.

Sementara itu, di Sabah ada kemungkinan kerusi Parlimen Kota Marudu jatuh ke tangan pembangkang.

Maximus Ongkili menang pada PRU lalu dengan majoriti 1,774 undi. Namun undi popular yang diraihnya merosot daripada 47.2 peratus pada 2013 kepada 38.4 peratus pada 2018.

Faktor utama kemenangannya ketika itu adalah kerana perpecahan undi antara parti serpihan PKR, Parti Harapan Rakyat Sabah (33.2 peratus undi) dan Warisan (21 peratus undi).

Sementara Parti Harapan Rakyat Sabah dilihat tidak lagi aktif pada masa ini, sukar untuk menjangkakan parti mana yang akan menjadi pilihan penyokong mereka pada PRU15.

Pengundi Sabah, terutama di kawasan luar bandar, lebih cenderung memilih parti tempatan.

Selain empat kerusi ini, Muda juga dilaporkan berminat untuk bertanding di Masjid Tanah di Melaka.

PN dijangka kekal meletakkan penyandangnya, Mas Ermieyati Samsudin yang popular di situ. BN pula dikatakan akan meletakkan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dalam usaha merampas semula kerusi itu.

Walaupun sokongan terhadap BN di situ sudah merosot, corak pengundian pada PRN Melaka tahun lalu - di mana peratus keluar mengundi di DUN di Masjid Tanah tidak jauh berbeza dengan ketika 2018 - menunjukkan BN kekal sebagai pilihan utama.

BN meraih 54.5 peratus undi popular di lima DUN dalam Masjid Tanah pada PRN 2021, diikuti dengan PN (30.3 peratus) dan PH (15.2 peratus).

Sama seperti di Kepala Batas, Muda dan PH perlu meraih undi sebahagian besar pengundi baru di Masjid Tanah, iaitu kira-kira 18,000, untuk bersaing merebut kerusi itu.

Namun, bukan semua pengundi baru akan keluar mengundi pada 19 November ini.

Selain golongan berusia 18 hingga 20 tahun, sistem pendaftaran automatik turut mendaftarkan warga Malaysia yang sebelum ini tidak pernah peduli untuk mendaftar sebagai pengundi.

Diandaikan, sekurang-kurangnya pada masa ini, mereka yang tidak pernah mendaftar sebelum ini mungkin tidak akan keluar mengundi pada PRU kali ini.

Muda mencalonkan Danial abdul Majeed di Kepala Batas, guru Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang), peguam Lim Wei Jiet (Tanjung Piai) dan bekas jurutera Shahrizal Denci (Kota Marudu).

Muda juga akan mengumumkan calonnya di Muar pada Rabu ini. Kerusi itu disandang presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.