Skip to main
Logo Malaysiakini

Air setinggi 1.5 meter pula landa Baling

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penduduk kampung yang tinggal di Daerah Baling, Kedah mengalami kerugian hampir setiap kali hujan apabila kediaman mereka dinaiki air.

Minggu lalu, rumah mereka dinaiki air hampir satu meter selepas kira-kira dua jam hujan tanpa henti.

Kejadian banjir pada 4 Julai lalu mengakibatkan 41 kawasan terjejas di samping mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu hamil berusia 23 tahun.

Penduduk kampung yang ditemui berkata, hujan pada Jumaat lepas (28 Okt) menyebabkan banjir di seluruh daerah Baling dan Sik, termasuk di Lubuk Temulung, Kampung Belimbing, Bendang Tebal, Kampung Jerai dan Kampung Setol.

Seorang lagi penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Ramly, 48, dari Kampung Belimbing berkata, dia bimbang dengan keselamatan kedua ibu bapanya yang sudah tua kerana tidak dapat menjangka bila banjir akan berlaku.

“Saya bimbang keselamatan ibu bapa saya kerana mereka berdua bersendirian di rumah.

“Saya bergegas ke rumah keluarga saya setiap kali hujan sekarang kerana saya tinggal bersama isteri dan anak kira-kira lima minit perjalanan.

“Jumaat lalu, saya bergegas memeriksa ibu bapa ketika hujan kerana kawasan itu mula dinaiki banjir kilat,” katanya.

Ramly berkata setibanya di rumah orang tuanya, dia mendapati air setinggi satu meter telah memasuki kediaman mereka dan bergegas membawa ibu bapanya yang berusia 67 tahun, ke rumahnya.

“Ini tidak berlaku sebelum 4 Julai. Sebelum ini ada hujan, tetapi keadaan berbeza selepas banjir Julai lalu.

“Saya mahu memastikan ibu bapa saya yang sudah tua selamat dan saya sedang memikirkan apa yang perlu dilakukan demi keselamatan ibu bapa,” tambah Ramly yang juga seorang peniaga.

Dia berkata, mereka sekeluarga mengalami kerugian besar akibat banjir pada 4 Julai lalu, kerana hampir semua barangan elektrik mereka rosak selepas ditenggelami air setinggi 1.5m.

Air naik dengan cepat

Seorang lagi penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Suhaimi, 60, berkata, rumahnya di Lubuk Temulung di Baling ditenggelami air sedalam 1.5m selepas hujan lebat pada Jumaat lalu.

Suhaimi berkata air naik dengan cepat sehingga ke paras pinggang dan ahli keluarganya tidak sempat mengalihkan beberapa barangan rumah ke tempat yang lebih tinggi.

“Perabot semua ditenggelami air dan sekarang kami cuba jemurnya di bawah cahaya matahari untuk mengeringkannya. Bagaimanapun, perabot kayu itu rosak selepas beberapa jam di dalam air.

“Kami pernah mengalihkan perabot ke tempat yang lebih tinggi tetapi kali ini kami tidak dapat berbuat demikian kerana kami keluar ketika hujan,” kata pesara penjawat awam itu.

Sebuah video berhubung kejadian bajir kilat itu tular di media sosial menunjukkan air memenuhi ruangan tingkat bawah sebuah rumah.

Penduduk kampung di kawasan terbabit dilaporkan tidak pernah sunyi dari masalah banjir selepas kejadian banjir 4 Julai lalu yang merosakkan lebih 1,000 rumah di Baling.

Pada 14 Sept lepas, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menganggarkan nilai kerugian akibat bencana banjir lumpur dan aliran puing di daerah Baling pada 4 Julai lepas berjumlah RM28 juta.

Sanusi berkata kerugian itu melibatkan kemusnahan rumah, premis, infrastruktur, kenderaan dan harta benda yang lain.

Projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas didakwa sebagai antara punca kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa buah kampung di daerah Baling, sebelum ini.

Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling mendedahkan banjir puing yang melanda 12 kampung di daerah itu sehingga meragut tiga nyawa pada Julai lalu adalah disebabkan fenomena proses geologi berangkai.

Menurut, ia akibat cetusan hujan lebat melampau di Gunung Inas diikuti pembentukan aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur.

Kajian juga mengesyorkan penduduk kampung yang tinggal di hilir Sungai Kupang dipindahkan, kerana lebih banyak banjir dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang.