Skip to main
Logo Malaysiakini

BN pertaruh Ustaz Kazim di Larut, Annuar 'dipancung' di Ketereh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BN mempertaruhkan penceramah Mohd Kazim Elias atau dikenali dengan gelaran Ustaz Kazim untuk bertanding kerusi parlimen Larut di Perak.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula akan bertanding di Grik manakala Shamsul Annuar Nasarah pula akan bertanding di Lenggong.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan hal ini pada majlis pengumuman calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke-15 di WTCKL, malam ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga akan mempertahankan kerusi Bagan Datuk. Mohd Arif Abd Majid pula diletakkan bertanding di Padang Rengas, menggantikan penyandang kerusi itu Mohamed Nazri Aziz.

Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim dan penyandang parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin tiada dalam senarai calon BN yang diumumkan malam ini.

Parlimen Padang Besar akan ditandingi Ketua Puteri Umno Zahida Zarikh Khan manakala kerusi Arau yang disandang Shahidan akan ditandingi Rozabil Abdul Rahman.

Sementara itu, Kangar pula akan ditandingi Fathul Bari Mat Jaya.

Di Kelantan, sebagaimana yang dispekulasikan, ketua Umno bahagian Annuar Musa ‘dipancung’ namanya daripada menjadi calon BN di parlimen Ketereh.

Ketua Puteri Umno Kelantan Marzuani Ardila bakal bertanding di Parlimen Ketereh.

BN juga masih mengekalkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di parlimen Gua Musang.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li memegang rekod sebagai wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini.

Dia mula bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kelantan Barat pada 1969 dan berjaya menewaskan calon PAS, Hussin Abdullah.

Kemudian Razaleigh beralih ke kerusi Parlimen pada 1974 bertanding di kawasan Gua Musang, yang dahulu dikenali sebagai Parlimen Ulu Kelantan dan kekal sebagai wakil rakyat Gua Musang.

Walaupun sebelum ini, Ketua Pemuda Pekan Mohd Nizar Najib dikatakan akan bertanding di Pekan namun BN meletakkan Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali bagi bertanding kerusi yang disandang bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini.

Sheikh Mohamed Puzi ialah penyandang DUN Peramu Jaya.

Pekan berada bawah pengaruh keluarga Najib sejak 1959 apabila ia pertama kali dimenangi oleh bapanya dan bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein.

Najib telah memegang kerusi Parlimen Pekan sejak 1976 selepas kematian bapanya, kecuali dari 1982 hingga 1986.

Ketua Pemuda Pekan Mohd Nizar Najib.

Pada 1982, Najib tidak mempertahankan kerusi itu sebaliknya bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan, bagi membolehkan dia dilantik sebagai menteri besar Pahang paling muda pada usia 29 tahun.

Najib juga salah seorang bangsawan Pahang Orang Besar Berempat dengan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar.

Najib menang dengan majoriti 24,859 undi pada PRU14, menewaskan calon PAS Ahiatudin Daud, Muhammad Zahid Md Arip dari Bersatu dan calon bebas Abd Kadir Sainudin.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob kekal di Bera manakala Mohd Sharkar Shamsuddin akan bertanding di parlimen Temerloh.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan bertanding di parlimen Sungai Buloh, Selangor meninggalkan kerusi Rembau yang disandangnya selama tiga penggal.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pula akan bertanding parlimen Rembau.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamal Md Yunos akan bertanding di parlimen Sungai Besar manakala Tengku Zafrul Abd Aziz akan bertanding di Kuala Selangor.

BN meletakkan Megat Zulkarnain Omar Din bertanding di Gombak.

Tengku Adnan Tengku Mansor pula kekal mempertahankan kerusi parlimen Putrajaya.