Skip to main
Logo Malaysiakini

Dari Langkah Sheraton ke bubar parlimen dalam 22 episod

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan satu demi satu krisis politik berlaku, tercetus akibat keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan dalam apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton, pada Februari 2020.

Menjelang hari penamaan calon pada hujung minggu ini, Malaysiakini menyajikan rangkuman mengenai 22 peristiwa penting yang berlangsung sejak Langkah Sheraton sehingga pembubaran parlimen bulan lepas.

Februari 2020: Langkah Sheraton

Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali meninggalkan Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada 23 Feb 2020.

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Bersatu, diketuai oleh presidennya Muhyiddin Yassin, meninggalkan gabungan Pakatan Harapan, bersama 11 ahli parlimen PKR.

Sepuluh ahli parlimen PKR, diketuai oleh Azmin Ali (Gombak) turut berpaling tadah:

  • 1. Zuraida Kamaruddin (Ampang)

  • 2. Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota)

  • 3. Baru Bian (Selangau)

  • 4. Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak)

  • 5. Mansor Othman (Nibong Tebal)

  • 6. Rashid Hasnon (Batu Pahat)

  • 7. Edmund Santhara Kumar (Segamat)

  • 8. Ali Biju (Saratok)

  • 9. Willie Mongin (Puncak Borneo)

  • 10. Jonathan Yasin (Ranau)

Mahathir dilantik sebagai perdana menteri sementara, dan menyarankan idea kerajaan perpaduan dengan semua parti di parlimen akan mengambil bahagian dalam kerajaan tetapi ini ditolak oleh pelbagai pihak. Perebutan untuk membentuk gabungan bagi mendapatkan majoriti dan menubuhkan kerajaan berlaku.

Kepentingan: Kerajaan Pakatan Harapan digulingkan.

29 Februari 2020: Muhyiddin jadi PM, Perikatan Nasional ditubuhkan

Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara, untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Selepas menemu bual semua ahli parlimen, Agong mengumumkan bahawa Muhyiddin mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk, terdiri daripada:

  • 1) Bersatu

  • 2) BN

  • 3) PAS

  • 4) Gabungan Parti Sarawak (GPS)

  • 5) STAR

Tetapi bilangan sebenar ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin tidak akan didedahkan sehingga parlimen bersidang pada Mei, apabila ditunjukkan dia mempunyai majoriti tipis dua ahli parlimen, mendapat sokongan daripada hanya 114 anggota Dewan Rakyat.

Penjajaran semula kerjasama politik antara parti juga bermakna Perikatan Nasional memperoleh majoriti di empat negeri: Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Kepentingan: Selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya persekutuan buat kali pertama pada 2018, BN kembali berkuasa.

18 Mac 2020: Perintah kawalan pergerakan Covid-19

Beberapa kawasan yang dianggap zon merah Covid-19 dipasang pagar berduri, seperti kawasan ini di Pudu, Kuala Lumpur pada Mei 2020.

Jumlah kes Covid-19 meningkat daripada 20 kepada 3,000 kes, berikutan penularan yang melibatkan perhimpunan agama di Lembah Klang.

Penutupan selama dua minggu telah diumumkan, tetapi ia berterusan selama kira-kira dua tahun walaupun dengan kelonggaran beransur-ansur dari semasa ke semasa.

30 Julai ke 26 September 2020: Anwar ada nombor, krisis politik Sabah

Papan iklan Warisan yang memaparkan Presidennya Shafie Apdal, semasa pilihan raya Sabah 2020.

Ketua Menteri Sabah dan Presiden Warisan Shafie Apdal memohon pembubaran DUN, selepas pemimpin Umno Sabah Musa Aman berkata dia telah mendapat sokongan majoriti Adun Sabah melalui akuan berkanun. Ini bermakna ada Adun yang telah berpaling tadah menukar sokongan.

Dengan menggesa pilihan raya negeri mengejut, Shafie berharap untuk mendapatkan semula mandat rakyat tetapi pada bulan September, usaha sekutu Pakatan Harapan itu gagal.

Gabungan Rakyat Sabah - gabungan Umno, Bersatu dan Star menang majoriti mudah sebanyak 38 kerusi. Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Md Noor dilantik sebagai ketua menteri manakala Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menjadi timbalannya.

Pekerja penjagaan kesihatan menjalankan saringan Covid-19 di tengah-tengah pilihan raya Sabah, selepas itu lonjakan kes dilaporkan.

Tiga hari sebelum pengundian di Sabah, Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mengumumkan dia mempunyai "nombor" (sokongan ahli Dewan Rakyat) untuk membuktikan Muhyiddin telah kehilangan majoriti di parlimen.

Tetapi ini tidak pernah menjadi kenyataan dan tidak menjejaskan keputusan PRN Sabah.

Berikutan kemenangan sekutu PN di Sabah, Gerakan menyertai PN.

Sementara itu, kes Covid-19 melonjak naik berikutan kempen di Sabah, yang melibatkan perjalanan dan pergaulan juru kempen dari seluruh Malaysia.

Kepentingan: Umno kembali berkuasa di Sabah, memberi tamparan terhadap keyakinan Pakatan Harapan untuk merebut semula Putrajaya.

21 Januari ke 26 Julai 2021: Malaysia dalam darurat

Penunjuk perasaan menuntut pengisytiharan darurat ditarik balik, dan parlimen kembali bersidang, semasa protes di Kuala Lumpur pada April 2021.

Darurat diisytiharkan dikatakan bagi menangani peningkatan kes Covid-19, tetapi tindakan itu menimbulkan kontroversi kerana ia menggantung parlimen.

Lantaran itu, usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri untuk membuktikan dia telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak dapat dilakukan.

Darurat juga meletakkan sekatan terhadap kebebasan bersuara, yang didakwa sesetengah pihak menyekat pengkritik.

Walaupun begitu, beberapa langkah politik diteruskan dan pada 28 Feb, PKR kehilangan dua lagi ahli parlimen - Larry Sng dari Julau dan Steven Choong dari Tebrau.

Kepentingan: Krisis politik kebanyakannya tercetus dalam keadaan usul yang digantung di parlimen.

Mei 2021: Umno ancam tarik balik sokongan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba ke Perhimpunan Agung Umno.

Perhimpunan agung Umno memberi kuasa kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan sama ada menarik balik sokongan terhadap Muhyiddn Yassin sebagai perdana menteri atau keluar daripada kerajaan campuran Perikatan Nasional pada bila-bila masa.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan keluar daripada PN sekiranya pilihan raya umum tidak diadakan secepat mungkin.

Kepentingan: Muhyiddin menghitung hari-hari akhir sebagai perdana menteri

21 Julai hingga 21 Ogos 2021: Muhyiddin hilang sokongan, Ismail Sabri jadi PM

Ismail Sabri Yaakob melambai kepada pemberita ketika tiba di Istana Negara, untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, pada 21 Ogos 2021.

Umno menarik balik sokongan daripada Muhyiddin, tiga bulan selepas mengugut akan berbuat demikian jika pengundian tidak diadakan.

Ia berbuat demikian sehari selepas naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalan perdana menteri - langkah Muhyiddin untuk menenangkan Umno.

Sebanyak 15 ahli parlimennya mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin juga telah cuba mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen pembangkang dengan menawarkan pembaharuan, tetapi ditolak.

Buntu dengan langkah seterusnya, Muhyiddin mengakui dia telah kehilangan majoriti dan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Ismail Sabri mengambil alih jawatan perdana menteri.

Namun begitu, gabungan PN kekal utuh dengan pimpinan Bersatu Muhyiddin menyokong Ismail Sabri. Sebagai tawaran damai, Muhyiddin dilantik pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

12 September 2021: MOU PH dan kerajaan Ismail Sabri

Pemeterian perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menandatangani memorandum persefahaman untuk pembangkang menyokong kerajaan dalam reformasi utama negara, termasuk:

  • Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen.

  • Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.

  • Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

  • Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

  • Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

  • Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).

  • Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

MOU itu membawa kestabilan politik tanpa perdana menteri kehilangan majoriti dalam mengundi mana-mana rang undang-undang di parlimen. Ia juga mempercepatkan proses reformasi utama.

Kepentingan: Tempoh kestabilan politik relatif bermula kerana tumpuan bukan lagi untuk menjatuhkan kerajaan.

21 November 2021: Krisis politik Melaka

Idris Haron, yang mengetuai Adun berpaling tadah yang menjatuhkan kerajaan PN Melaka, bertanding dalam pilihan raya di bawah tiket Pakatan Harapan.

Melaka bertukar tangan daripada PH kepada PN selepas Langkah Sheraton, dengan Sulaiman Md Ali daripada Umno dilantik sebagai ketua menteri.

Tetapi pilihan raya negeri diadakan selepas empat Adun menarik balik sokongan daripada Sulaiman. Mereka ialah:

  • - Idris Haron (Sungai Udang)

  • - Nor Azman (Pantai Kundor)

  • - Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu)

  • - Noor Effendi Ahmad (Telok Mas)

Walaupun kerjasama di peringkat persekutuan, BN dan PN bertarung pada pilihan raya Melaka. BN menang besar dalam pengundian ini.

PH tewas dan Idris gagal mendapat tempat selepas kalah sebagai calon PH. Tiga yang lain turut tewas.

Sulaiman kembali menjadi ketua menteri.

Kepentingan: Kuasa BN berkembang manakala PH merosot berbanding pencapaian pada 2018

18 Disember 2021: Pilihan raya Sarawak

GPS meraikan kejayaan PRN Sarawak pada 18 Disember 2021.

Pilihan raya Sarawak, yang ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat negeri bagi Covid-19, berlangsung sebaik pengisytiharan itu ditarik balik pada November.

GPS - anggota kerajaan persekutuan diterajui PN - menang 76 dari 82 kerusi yang dipertandingkan.

Kepentingan: Kemenangan BN terus melemahkan harapan PH untuk kembali ke Putrajaya.

15 Disember 2021: Undi18, pendaftaran automatik

Kapsyen: Pada April 2021, siswa mengadakan bantahan menuntut penguatlkuasaan undang-undang yang menurunkan umur minimum mengundi kepada 18 tahun.

Pindaan kepada undang-undang yang menurunkan umur minimum pemilih daripada 21 kepada 18 tahun, serta pendaftaran pemilih automatik berkuat kuasa.

Pindaan perlembagaan itu diwartakan pada November 2021, lebih dua tahun selepas ia dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan diluluskan sebulat suara di Parlimen pada Julai 2019.

Kepentingan: Sejumlah 6.23 juta pemilih baru ditambah ke dalam senarai daftar pemilih, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 21.17 juta. Daripada jumlah itu, 1.4 juta adalah berumur bawah 21 tahun.

21 Disember 2021 ke 12 Mac 2022: Krisis Johor

Hasni Mohamad meraikan kemenangan menakjubkan BN dalam pilihan raya Johor pada 12 Mac 2022.

MB Johor Hasni Mohamad kehilangan majoriti hanya satu kerusi apabila Adun Kempas Osman Sapian meninggal dunia pada 12 Dis 2021, membuka jalan kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Selepas Umno kalah di negeri kelahirannya pada 2018, BN kembali meraih majoriti dua pertiga meninggalkan PH dengan hanya 12 kerusi.

PN hanya menang tiga kerusi, satu kemunduran kerana Johor adalah negeri kelahiran pengerusinya Muhyidddin Yassin. Muda membuat penampilan sulung, menang kerusi pertama menerusi Amira Aisya Abd Aziz di Puteri Wangsa.

Walaupun membawa BN kepada kemenangan yang menakjubkan, Hasni tidak dilantik semula sebagai menteri besar Johor, menandakan keretakan dalam Umno. Sebaliknya pemimpin 'bangsawan' Umno Onn Hafiz, cicit kepada pengasas Umno Onn Jaafar, mengambil jawatan itu.

Kepentingan: Muda menang kerusi pertama, BN melalui Umno meluaskan penguasaannya.

21 Februari 2022: Perang Russia-Ukraine

Seorang penduduk tempatan berjalan di tepi bangunan yang musnah selepas serangan roket di kampus universiti, di tengah-tengah pencerobohan Rusia, di Bakhmut, di wilayah Donetsk, Ukraine, 21 Mei 2022. REUTERS/Carlos Barria

Rusia menyerang Ukraine, menyebabkan pelbagai krisis di seluruh dunia. Di Malaysia, ini membawa kepada inflasi, termasuk kos makanan asas yang cepat meningkat seperti ayam dan telur, serta ubat-ubatan.

Menjelang Oktober, inflasi utama mencecah paras tertinggi empat peratus.

Kepentingan: Tekanan ekonomi dan politik meningkat terhadap Ismail Sabri.

Mac ke Oktober 2022: Krisis Umno

Pemimpin Umno Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media mengenai penggantungannya daripada Umno.

Tekanan untuk mengadakan pilihan raya menimbulkan keretakan dalam Umno, dengan parti itu berpecah kepada dua kem - kumpulan yang berpihak Presidennya Ahmad Zahid dan satu lagi kem menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Perpecahan itu memuncak apabila Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman digantung daripada Umno, selepas menyerang presiden.

Di tengah-tengah keretakan itu, Tajudin mendakwa Zahid telah menandatangani akuan berkanun untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Anwar menjawab dengan mengatakan Zahid dan Najib memang menandatangani SD menyokongnya tetapi dia menolak sokongan mereka kerana sebagai balasan, mereka mahu pengerusi PH itu campur tangan dalam kes rasuah mereka yang belum selesai di mahkamah.

Kepentingan: Hari-hari akhir Ismail Sabri sebagai PM.

April ke Julai 2022: Pemilihan PKR

Rafizi Ramli pada pelancaran program jelajah Ayuh Malaysia.

Rafizi Ramli kembali aktif berpolitik dengan menang pertandingan jawatan timbalan presiden PKR.

Dia juga melancarkan program jelajah di seluruh negara, Ayuh Malaysia, untuk menghidupkan semula semangat dalam kalangan pengundi PH, yang semakin memudar di tengah-tengah krisis yang berulang.

Kepentingan: Kepulangan Rafizi boleh membantu menaikkan semangat di kalangan penyokong PH.

26 Mei 2022: Zuraida keluar Bersatu

Zuraida Kamaruddin mengumumkan dia telah diterima masuk dan dilantik sebagai presiden PBM.

Zuraida keluar Bersatu bersama-sama beberapa orang kanannya, menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan dia diisytiharkan sebagai presiden.

Peralihan parti kedua Zuraida ini sejak Langkah Sheraton, apabila dia berpaling tadah daripada PKR.

Bagaimanapun, ini kemudian mencetuskan perebutan kepimpinan pada Oktober, apabila presiden pengasas PBM, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng menegaskan dia tidak pernah memberi laluan kepada Zuraida menjadi presiden.

Menariknya, walaupun telah keluar daripada Bersatu, Zuraida masih kekal dalam kabinet Ismail Sabri.

Kepentingan: Kekacauan dalam Bersatu diketahui umum.

Mei 2022: Ringgit menjunam jatuh

Ringgit jatuh ke tahap paling rendah RM3.80 berbanding AS$1, nilai yang ditambat semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997/8.

Ini membawa kepada kos barangan isi rumah yang lebih tinggi, kebanyakannya diimport tetapi kerajaan menolak kebimbangan itu sebagai kitaran ekonomi dan bersifat sementara saja.

Matawang ringgit paling teruk terjejas daripada semua mata wang Asia Tenggara, dan terus merosot berbanding dolar AS.

Kepentingan: Tekanan semakin memuncak terhadap Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Ogos 2022: Manathir bentuk gabungan baru Gerakan Tanah Air

Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gabungan politik baru, Gerakan Tanah Air, antara lain melibatkan tokoh kontroversi, Ibrahim Ali.

Mahathir membentuk Gerakan Tanah Air (GTA) sebuah perikatan partinya, Pejuang dan parti-parti kecil, Putra (diketuai oleh Ibrahim Ali), Berjasa dan parti India Muslim, Iman.

Kepentingan: Ini menandakan Mahathir tidak mungkin berganding bahu dengan PH pada PRU15.

23 Ogos 2022: Najib ke penjara

Seorang penyokong Najib Razak memakai baju-T mengikrarkan kesetiaannya, ketika Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan rasuah bekas perdana menteri itu.

Najib didapati bersalah atas kes rasuah oleh Mahkamah Persekutuan.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Kepentingan: Minat politik awam pulih selepas tempoh keletihan.

September 2022: Muhyiddin serang Ismail Sabri

Muhyiddin Yassin hadir mesyuarat Perikatan Nasional di Kuala Lumpur.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin melancarkan serangan terbuka terhadap PM Ismail Sabri Yaakob mendakwa tadbir urus ekonomi yang lemah, satu langkah yang dilihat sebagai sabotaj daripada sekutu Umno dalam kerajaan.

Kepentingan: Gabungan politik antara parti pemerintah PN dan BN mustahil stabil.

5 Oktober 2022: Undang-undang antilompat parti berkuatkuasa

Bersih berkempen untuk RUU antilompat parti pada Mac.

Undang-undang antilompat parti, yang memaksa pilihan raya kecil jika wakil rakyat berpaling tadah, mula berkuat kuasa.

Ini salah satu reformasi utama yang menjadi sebahagian daripada MOU kerajaan Ismail Sabri Yaakob dengan PH.

Kepentingan: Lebih sukar untuk menjatuhkan kerajaan melalui pembelotan selepas PRU15.

10 Oktober 2022: Parlimen bubar

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran parlimen melalui siaran langsung di televisyen.

Parlimen sudah dibubarkan, tetapi pemimpin PAS dan negeri pimpinan Pakatan Harapan tidak mengikut langkah untuk membubarkan DUN mereka.

Ini bermakna hanya Pahang, Johor, Perlis, Perak, Sabah dan Sarawak akan mengadakan pilihan raya negeri bersama pilihan raya umum.