MIC Pahang tak sertai pengumuman calon BN negeri
PRU15 | Jika semalam semua calon MIC Pusat tidak hadir dalam majlis pengumuman calon oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini pemimpin MIC Pahang turut mengambil tindakan sama.
Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam ketika dihubungi berkata dia menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti di Kuala Lumpur yang dijadualkan jam 10 pagi.
"Saya diminta menghadiri mesyuarat (MIC Pusat) malam tadi, saya telah memaklumkan kepada Pengerusi Barisan Nasional Pahang (Wan Rosdy Wan Ismail) bahawa saya tidak akan hadir pada majlis (pagi ini).. dia sudah dimaklumkan," katanya.
Majlis pengumuman calon BN Pahang oleh Pengerusi BN negeri, Wan Rosdy Wan Ismail dijadualkan pagi ini di sebuah hotel di Kuantan.
Difahamkan, tindakan MIC Pahang tidak hadir majlis pagi ini tidak menjejaskan peluang parti itu untuk bertanding di kerusi DUN Sabai yang menjadi kerusi tradisi mereka.
Dalam pada itu, sumber berkata ketua bahagian MIC Pahang dan penyokong mereka malam tadi 'dinasihatkan' untuk tidak menghadiri majlis berkenaan sehingga CWC parti itu selesai bermesyuarat.
Malam tadi, Presiden MIC, SA Vigneswaran dilaporkan berkata, MIC akan memutuskan secara muktamad pendirian parti itu sama ada untuk menyertai PRU15 atau sebaliknya secara kolektif.
Dia berkata, ketetapan parti akan dibuat dalam mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti terbabit pagi ini.
MIC dijangka bertanding di 10 kerusi parlimen dan tiga kerusi DUN di Perak, selain satu lagi kerusi DUN di Pahang.
MIC Pahang hanya akan bertanding di kerusi DUN Sabai pada PRU15.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai