‘Perlu jawatankuasa khas untuk projek pelancongan terowong komunis di Baling’
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu usaha membangunkan Terowong Komunis di Weng, Baling sebagai antara produk pelancongan di negeri itu mengalami kekangan berikutan terdapat beberapa isu seperti keselamatan, kos dan pengurusan yang perlu dikaji semula.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata sehubungan itu, satu jawatankuasa penilaian dan pembangunan perlu ditubuhkan bagi meneliti beberapa aspek sebelum ia dibangunkan.
Beliau berkata perancangan yang teliti perlu dilakukan disebabkan faktor keselamatan dan kos pembangunan serta pemuliharaannya yang tinggi.
“Ia perlu bagi melihat sejauh mana ia akan memberikan impak kepada pembangunan kawasan sekitar,” katanya menjawab soalan Abd Nasir Idris (PAS-Bayu) pada persidangan itu di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
Abd Nasir ingin tahu mengenai usaha kerajaan untuk memulihkan dan membangunkan Terowong Komunis agar menjadi antara produk pelancongan utama di Baling.
Mohd Firdaus berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan untuk membangunkan terowong itu sebagai antara produk pelancongan.
“Kerajaan negeri menyokong penuh jika pemuliharaan dan pembangunan kawasan bersejarah ini dibangunkan sebagai produk pelancongan sejarah.
“Ini akan dapat menambah variasi produk selain Eko Pelancongan dan pelbagai aktiviti dapat dirancang memandangkan kawasan ini terkenal dengan aktiviti lasak 4x4 serta keindahan alam flora dan faunanya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Terowong Komunis terletak di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan di kawasan Kompartmen 29 Hutan Simpan Ulu Muda.
Beliau berkata kawasan itu masih dalam pemantauan Angkatan Tentera Malaysia kerana faktor keselamatan dengan kedudukannya berada di sempadan Malaysia-Thailand.
“Jarak terowong ini dengan sempadan Thailand hanya dua kilometer. Terowong ini adalah terowong paling aktif digunakan pada 1948 sehingga 1968 kerana faktor dan laluannya yang strategik,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai