Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Calon BN disaring untuk elak pisang berbuah dua kali

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRU15 | Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengakui sangat sukar untuk dia membuat pemilihan calon parti itu bagi diturunkan pada PRU tidak lama lagi.

Menganggap semua yang ada itu sebagai "terbaik" Ahmad Zahid menambah, banyak pertimbangan yang diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat.

Pada masa sama dia juga menegaskan, parti membuat perubahan tertentu bagi mengelakkan "pisang berbuah dua kali" daripada pemimpin parti yang tertentu.

"Sesungguhnya top five melakukan penyaringan yang terperinci bagi mengelak berlakunya pisang berbuah kali daripada sikap, pendirian dan tingkah laku yang boleh memudaratkan Umno dan BN," katanya dalam kenyataan hari ini.

BN malam tadi mengumumkan sebahagian besar calon mereka untuk dipertaruhkan dalam PRU ke-15 yang dijadual berlangsung pada 19 Nov ini.

Bagaimanapun ada sebahagian tokoh berprofil tinggi tercicir daripada senarai yang diumum pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Umno di tengah Kuala Lumpur itu.

Antara nama yang tidak dicalonkan lagi ialah penyandang kerusi parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, Annuar Musa (Ketereh), Shahidan Kassim (Arau) dan Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).

Annuar dan Shahidan merupakan anggota kabinet Ismail Sabri Yaakob, masing-masing sebagai menteri komunikasi dan multimedia, serta menteri Wilayah Persekutuan.

Tajuddin pula pernah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno Malaysia sebelum dipecat daripada majlis kerja tertinggi parti itu.

Jangan tutup bilik gerakan

Kesemua mereka dilihat selalu tidak sependapat dengan kepemimpinan tertinggi parti, khususnya Ahmad Zahid.

Malah Tajuddin pernah mengadakan sidang media untuk mendedahkan bagaimana Ahmad Zahid mengaturkan gerak mengumpul sokongan buat Presiden PKR, Anwar Ibrahim, agar dilantik menjadi perdana menteri.

Ahmad Zahid berkata Umno perlu melakukan perubahan segera bagi mengelakkan mereka tertinggal berbanding parti lawan yang mengetengahkan ramai calon muda.

Katanya suara anak muda sangat penting dan Umno perlu mendengar dan memberikan peluang kepada calon baru untuk bertanding.

Gambar fail

Pemimpin yang sudah lama menjadi wakil rakyat pula, katanya, perlu memberikan peluang kepada suara anak-anak muda mengambil tempat dan kedudukan.

Ahmad Zahid yang akan cuba mempertahankan kerusi parlimen Bagan Datuk itu turut memberi amaran agar pemimpin parti yang tidak terpilih supaya mengelak daripada merosakkan organisasi.

"Jangan pula cetuskan rasa tidak berpuas hati, marah, protes, cah keting, sabotaj, malah cuba menutup bilik gerakan, memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti mereka sendiri," katanya.

Dalam tempoh sekarang, tambah Ahmad Zahid, kesetiaan kepada parti, dan megukuhkan kebersamaan adalah lebih penting daripada merintih kerana tidak dicalonkan.

"Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung," katanya.