Skip to main
Logo Malaysiakini

PU Syed mohon maaf kepada Husam Musa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selebriti agama Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed memohon maaf terhadap Husam Musa.

“Saya mengaku telah melakukan kesilapan dengan memuat naik video tersebut dalam media sosial saya kerana beranggapan ia menarik untuk rakyat Kelantan ketahui kisah tersebut tanpa memikirkan datang dari mana sumber tersebut,” jelasnya.

Syed Mohd Bakri sebelum ini berkongsi video dakwaan penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin terhadap Husam.

Katanya, dia memadam video itu setelah Husam menafikan dakwaan itu.

“Saya mengaku saya berada pada posisi yang salah dengan menyebar sesuatu tanpa bukti yang kukuh dan semata-mata melihat video dari Raja Petra itu sahaja. 

“Saya dengan ini memohon maaf kepada Tuan Haji Husam Musa serta bersedia untuk menerima tindakan saman jika permohonan maaf ini tidak diterima,” katanya.

Raja Petra antaranya mendakwa Husam memanipulasi minit mesyuarat untuk memberi projek balak kepada pemimpin DAP dan menerima wang daripada sebuah syarikat judi.

Sementara itu, Husam menerusi kenyataan di akaun Facebook hari ini berkata, dia boleh menerima permohonan maaf itu.

Bagaimanapun, dia berharap PU Syed dapat juga berkongsi berkaitan perkara-perkara baik yang dilakukannya.

“Justeru, jika permohonan maaf PU Syed datang dari hati yang benar, bolehkan pula beliau berkongsi sesuatu yg baik mengenai saya dalam laman FB beliau?

“Kebaikan, dan kebaikan-kebaikan saja yang mampu menghapuskan keburukan,” katanya lagi.

Husam juga berkata “dosa perkongsian fitnah” yang menghinggapi orang lain, itu di luar kemampuan saya untuk memaafkannya,” ujarnya.