Skip to main
Logo Malaysiakini

Timba pengalaman di DUN sebelum ke parlimen - anak Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mohd Nizar Najib tidak menolak kemungkinan keputusan meletakkannya di kerusi DUN Peramu Jaya dalam PRU15 adalah untuk mempersiapkannya bertanding di kerusi parlimen pada masa akan datang. 

Dia bagaimanapun berkata, situasi politik di negara ini adalah dinamik dan boleh berubah pada bila-bila masa. 

"Perkara itu untuk jangka masa panjanglah, politik ini dalam keadaan dinamik dan sentiasa berubah.

"Tapi kita perlu menimba pengalaman dululah sebelum ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberi peluang," katanya ketika ditemui di Kuantan, hari ini. 

Anak bekas perdana menteri itu berkata, peluang diberikan BN Pahang bertanding di kerusi DUN juga dilihat sebagai pendedahan awal untuknya mempelajari selok belok pentadbiran di peringkat negeri. 

"Saya percaya pendedahan diberikan di peringkat DUN akan menjadikan saya seorang wakil rakyat yang lebih matang, lebih arif mengenai pentadbiran dalam negeri. 

"Saya yakin, insya-Allah ia akan membantu saya dalam jangka masa panjang sekiranya belajar bertatih di peringkat DUN dahulu," katanya lagi. 

Ketika ditanya mengenai keputusan BN Pahang tidak mencalonkan dia di kerusi parlimen, Mohd Nizar berkata, perkara itu tidak menjadi satu masalah. 

"Saya rasa perkara itu tidak menjadi masalah kerana saya masih dalam parlimen Pekan jugalah walaupun di kerusi DUN," katanya. 

Dia juga memberitahu fokus utamanya sekarang adalah memastikan kemenangan di kerusi DUN Peramu Jaya dan membantu calon parlimen Pekan, Sh Mohamed Puzi Sh Ali mempertahankan kerusi parlimen disandang ayahnya, Mohd  Najib Razak.