Skip to main
Logo Malaysiakini

Tangani diskriminasi antara tema utama manifesto PH

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menangani diskriminasi yang dihadapi rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek, seperti perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan dan kewarganegaraan, mejadi tema utama dalam manifesto PH pada PRU15.

Dasar-dasar ini juga dilihat melengkapi janji-janji lain berkenaan sosioekonomi yang dibuat PH.

Misalnya, dalam usaha menangani masalah kemiskinan bandar, PH berjanji akan mewujudkan lebih banyak rumah perumahan mampu milik kos rendah dan kos sederhana, serta rumah yang mampu disewa dan meluaskan lagi skim sewa untuk beli.

Bagaimanapun bagi ramai warga Malaysia, terutama kaum India, masalah diskriminasi sentiasa ada dalam pasaran sewa dan hartanah.

Tinjauan yang dibuat pada 2020 mendapati 45 peratus iklan menunjukkan keutamaan diberi kepada penyewa Melayu atau Cina, sementara 19 peratus terbuka untuk penyewa kaum India, dan 37 peratus tidak menyatakan sebarang keutamaan.

https://www.malaysiakini.com/news/554774

Dengan ikrar untuk menangani diskriminasi terhadap penyewa, PH berkata akan mewujudkan tribunal khas yang akan menjaga hak pemilik dan penyewa.

Manifesto PH juga menyatakan akan menangani diskriminasi dalam pasaran kerja, bukan saja diskriminasi berdasarkan kaum, agama atau jantina, tetapi juga keadaan fizikal dan mental.

Gabungan itu juga berjanji untuk merapatkan jurang pendapatan antara jantina. Menurut Indeks Jurang Gender Malaysia oleh Jabatan Perangkaan, wanita menerima pendapatan RM97.50 bagi setiap RM100 yang diterima lelaki.

Sementara itu, usaha untuk mengukuhkan tenaga kerja turut melibatkan ikrar PH berkenaan pendidikan - antaranya "dasar tiada penolakan" untuk mana-mana pelajar yang ingin menyertai program pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

PH juga berjanji untuk meningkatkan akses program TVET kepada golongan terpinggir termasuk masyarakat India, Orang Asli serta masyarakat Orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Diskriminasi status kewarganegaraan

Antara janji PH berkenaan isu ini adalah untuk memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang ada sekurang-kurangnya seorang anak berstatus warga.

Mereka juga berjanji untuk meminda Perlembagaan Persekutuan agar ibu dan bapa warga Malaysia dapat mewariskan status kerakyatan kepada anak mereka - tanpa mengira di mana mereka dilahirkan - dan memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada anak angkat.

PH juga berjanji untuk mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membentangkan laporan di Parlimen berhubung masalah masyarakat India tanpa kerakyatan agar bantuan untuk mereka dapat diselaraskan sehinggalah mereka diberi status tersebut.

Manifesto PH turut berjanji menangani masalah kemiskinan haid dengan membekalkan tuala wanita secara percuma di semua sekolah, serta di kawasan-kawasan strategik golongan B40.

Bagi warga kurang upaya, PH berjanji untuk menubuhkan agensi baru khusus untuk mengendalikan isu membabitkan mereka, seperti kelemahan dalam sistem pendidikan atau infrastruktur.

Gabungan itu juga berkata akan melantik pesuruhjaya kurang upaya dalam Suruhanjaya Hak Asasi (Suhakam) untuk menjaga lagi kepentingan mereka.

Selain itu, mereka turut berjanji untuk memastikan kemudahan awam, pengangkutan awam dan pembangunan baru dapat diakses golongan itu.