6 calon 'berkumpul' di Batu, Tian Chua pula bersajak
PRU15 | Persaingan ahli politik untuk menguasai kawasan parlimen Batu - yang dianggarkan mempunyai kira-kira 112,000 pengundi - kini menjadi semakin 'sesak'.
Setakat ini sudah ada lima calon mengesahkan penyertaan mereka dalam PRU, manakala dua lagi menunjukkan minat yang kuat ke arah itu. Seorang daripadanya ialah personaliti media sosial, Cleopatra, atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin.
PH sudah mengumumkan untuk mengekalkan calon penyandang, P Prabakaran, yang memenangi kerusi tersebut sebagai calon bebas pada 2018 sebelum dia menyertai PKR.
Ahli parlimen sebelumnya dan bekas ketua PKR Cabang Batu, Tian Chua, menunjukkan minat untuk dipilih semula bertanding dan membuat kemunculan semula, namun akhirnya harapan tersebut tidak kesampaian.
Dia yang terkenal sejak era Reformasi kemudian membuat hantaran berupa sajak di Facebook untuk menggambarkan perasaannya.
Berjudul Pamitan, berikut adalah antara petika kata-kata Tian:
Ku dibuang ke
dunia jiwa-jiwa yang gugur.
Cerialah, kawan-kawanku
Semuanya dah teratur
Ini bukan jalan yang tidak boleh kembali.
Pada rangkap lain, bekas naib presiden PKR itu juga bercerita mengenai andaian dia tidak akan "pulang" selepas ini.
Wahai kawan-kawan,
jika aku tidak lagi pulang
barangkali kamu akan menemuiku di jirat
di antara kayu-kayu dan batu-batu.
Chua menjadi simbol penentangan semasa Reformasi gambar dia bersila di hadapan kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang sedang bergerak mengingatkan orang ramai kepada imej lelaki yang mendepangkan dada di depan kereta kebal China di Dataran Tiananmen.
Selepas terlibat aktif dalam PKR, dia menjawat pelbagai tugas sehingga yang tertinggi menjadi naib presiden. Bagaimanapun pada suatu ketika Tian kurang disenangi sesetengah pihak kerana dilihat rapat dengan Azmin Ali.
Azmin merupakan bekas timbalan presiden PKR yang terlibat dalam Langkah Sheraton dan membawa kepada jatuhnya kerajaan PH di luar pilihan raya umum.
Tian merupakan ahli parlimen Batu selama dua penggal dari 2008 namun pada 2018 dia hilang kelayakan bertanding berikutan sabitan denda RM2,000 yang dikenakan Mahkamah Tinggi Shah Alam kepadanya.
Keadaan itu mendorong Tian memberikan sokongan kepada Prabakaran sebagai calon PH pada PRU berkenan.
Walaupun yakin masih mendapat sokongan pengundi Batu, rancangan Tian untuk kembali ke parlimen terbantut apabila Prabakaran menewaskannya dalam persaingan merebut jawatan ketua PKR cabang di situ pada Mei lalu.
Juga menarik minat Warisan
Sementara itu BN akan meletakkan A Kohilan Pillay sebagai wakil mereka dalam usaha cuba menguasai kerusi Batu. Ia diumumkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.
Bagaimanapun pagi tadi Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa kerusi berkenaan akan ditandingi partinya.
Satu lagi gabungan yang akan menyertai persaingan di Batu ialah Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhan Azhar Yahya dari PAS.
Tidak mahu ketinggalan ialah parti berpangkalan di Sabah, Warisan, yang kini cuba melebarkan sayapnya di Semenanjung Malaysia.
Batu menjadi lokasi pilihan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mengadakan ceramah sulungnya di semenanjung.
Semasa berucap itu dia menggesa pengundi keluar dari zon selesa dan memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan binasa tanpa Anwar Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.
Tidak cukup dengan itu, peguam hak asasi manusia Siti Kasim juga sudah membuat penegasan untuk bertanding di Batu sebagai wakil Gerak Independent.
Menarik untuk dilihat jika akan ada watak lain yang akan menyertai persaingan merebut kerusi Batu pada hari penamaan calon Sabtu ini.
Batu merupakan kawasan yang memiliki 43 peratus pengundi Melayu, Cina 30 peratus, India 20 peratus dan lain-lain tujuh peratus.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai