Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibrahim: Saya pun boleh jadi calon PM untuk GTA

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bagi Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali, dia juga boleh menjadi calon perdana menteri untuk gabungan Gerakan Tanah Air (GTA).

Bercakap di acara pengumuman calon GTA hari ini, Ibrahim berkata selain pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, gabungan tidak ketandusan pemimpin yang dapat mengetuai kerajaan.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu juga menyangkal dakwaan bahawa GTA ditubuhkan hanya untuk meneruskan agenda Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

"Sebab itu saya harap bila orang tanya apakah Tun (Mahathir) wujudkan GTA kerana nak jadi PM, anda (ahli dan calon GTA) jawab 'ya, kalau keadaan memaksa, kalau negara terus malap dan jika tiada yang mampu baiki negara ini'.

"Kalau bukan Tun, ada pemimpin lain dalam GTA (seperti) anaknya Mukhriz.

"Lepas Mukhriz, ada Datuk Ibrahim Ali. Tun pernah cakap dulu kalau ada 10 orang Ibrahim Ali, selamat Malaysia," katanya dalam acara di Bangi, Selangor.

'Saya rekod bersih'

Ketika acara itu, GTA yang dianggotai parti seperti Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman serta gabungan NGO Gabungan Bangsa mengumumkan nama 113 calonnya dalam PRU15.

Ibrahim dalam ucapannya turut menyindir Pengerusi PH Anwar Ibrahim berhubung usahanya untuk menjadi perdana menteri.

"Saya manusia kerdil. Rekod saya bersih, akhlak baik.

"Nama pula Ibrahim. Mungkin orang bapanya nama Ibrahim tak jadi perdana menteri, (orang) nama Ibrahim baru (boleh jadi)," selorohnya.

Ibrahim mula menjadi ahli parlimen pada 1986 apabila dia menang di Pasir Mas di bawah tiket BN.

Dia mengekalkan kemenangannya pada PRU 1990 di bawah tiket Semangat 46 tetapi kalah pada 1995 selepas menyertai semula BN.

Dia bertanding sekali lagi pada 1999 namun tewas kepada calon PAS. Dia kembali menjadi ahli parlimen Pasir Mas selepas bertanding di bawah tiket PAS pada 2008 dan mengekalkan kemenangannya pada PRU seterusnya.

Pada PRU 2013 dan 2018, dia bertanding sebagai calon bebas tetapi tewas - kedua-duanya di tangan PAS.

Pada PRU kali ini, dia akan bertanding di Parlimen Rantau Panjang - kali pertama di kerusi selain Pasir Mas sepanjang terlibat dalam politik.

Sementara itu, ketika sidang media selepas pengumuman, Mahathir berkata GTA akan meletakkan calon di sekurang-kurangnya 120 kerusi Parlimen.

"Kita harap boleh menang dan bentuk kerajaan," katanya ketika diminta mengulas jangkaan GTA dalam PRU ini.

Ditanya sama ada GTA akan menimbang untuk bekerjasama dengan gabungan lain jika, dia berkata ia hanya akan diumumkan selepas PRU.

Mahathir juga berkata GTA tiada calon perdana menteri dan soal itu hanya akan dibincangkan jika mereka menang dan mampu menubuhkan kerajaan.