Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita Umno kecewa BN gagal terjemah kuota 30 peratus calon wanita

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wanita Umno membangkitkan rasa tidak puas hati dengan senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini susulan kegagalan pucuk pimpinan parti menterjemah janji untuk menetapkan kuota 30 peratus calon wanita.

Ketua penerangannya, Norshida Ibrahim, berkata pucuk pimpinan BN nampak seperti memandang enteng janji kuota itu.

“Apakah pucuk pimpinan BN lupa bahawa calon wanita adalah salah satu faktor kemenangan kepada BN?

“Adakah pucuk pimpinan lupa janji tersebut ditagih oleh kesemua wanita dan pengundi wanita di negara ini?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Daripada 160 calon BN yang diumumkan, Selasa lalu oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi BN hanya 18 adalah wanita yang kira-kira hanya berjumlah 11.25 peratus.

Wanita Umno pula hanya mendapat lapan kerusi manakala Puteri Umno diberikan tiga kerusi.

Mengulas lanjut, Norshida berkata, jika tidak mahu melaksanakan janji kuota 30 peratus calon Wanita, adalah tidak perlu MKT Umno dan Dewan Tertinggi BN menyatakan komitmen untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus pembabitan calon wanita dalam PRU15.

"Apakah kita perlu berdiam diri dengan pendirian sebegini yang sudah begitu lama dijanjikan angan-angan kosong oleh pucuk pimpinan?

"Jelas bahawa pucuk pimpinan tidak mengiktiraf dan memberikan kepercayaan penuh kepada Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam pimpinan arus perdana negara," katanya sambil menyatakan kekecewaan pergerakan itu.