Skip to main
Logo Malaysiakini

Mesti berani tawar khidmat di kawasan bandar - KJ

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon BN kerusi parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata BN perlu berani menawarkan khidmat di kawasan bandar jika mahu berubah ke arah yang lebih baik.

“Kita tidak boleh menjadi wakil untuk penduduk luar bandar sahaja. Kita perlu mewakili suara Malaysia dan lebih berani menawarkan khidmat di kawasan bandar,” katanya.

Dia berkata demikian menerusi video berdurasi sekitar tiga minit di media sosial miliknya bagi menjawab persoalan pencalonannya di Sungai Buloh.

Khairy juga berkata polisi juga akan lebih tertumpu terhadap isu penduduk bandar apabila mewakili kawasan bandar.

“Bila kita mewakili orang bandar, polisi kita juga akan lebih mengambil kira isu yang dihadapi oleh majoriti rakyat Malaysia iaitu penduduk kawasan-kawasan bandar,” tambahnya.

Walaupun demikian beliau turut menegaskan bahawa kawasan luar bandar tetap tidak akan dipinggirkan.

“Ini bukan menidakkan pembangunan di kawasan luar bandar atau pedalaman, itu tetap sangat penting.

Tapi jangan kita anggap semua yang duduk di bandar ini senang,” jelasnya.

Khairy turut menjelaskan pelbagai isu dan cabaran yang penduduk bandar hadapi akan ditangani menerusi manifestonya.

“Kehidupan di bandar mencabar dengan isu-isu seperti kos sara hidup, kos perumahan, akses ke klinik kesihatan, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam, banjir kilat, isu alam sekitar dan macam-macam lagi yang saya akan memberi cadangan penyelesaian dalam manifesto Sungai Buloh beberapa hari lagi nanti,” ujar penyandang kerusi parlimen Rembau itu.

Tambahnya lagi, kerusi parlimen Sungai Buloh yang mempunyai kepelbagaian demografi penduduk telah memberi inspirasi kepadanya sebagai pemimpin seluruh lapisan latar belakang penduduk di situ.

“Ini merupakan kerusi Malaysia sebenar dan saya selalu terinspirasi untuk menjadi pemimpin Malaysia bagi seluruh warga Malaysia.

“Perjuangan saya adalah untuk semua tak kira kaum, agama atau latar belakang.

“Yang penting kita jaga dan bantu semua yang memerlukannya seperti mana usaha kita memberi vaksin untuk menyelamatkan semua penduduk di Malaysia dari Covid-19,” jelasnya lagi.

Dia juga berharap pengundi di Sungai Buloh akan memilihnya dan bekerja keras sebagai mewakili suara penduduk di situ.

“Saya akan bawa suara Sungai Buloh dengan jelas dan lantang ke Parlimen seperti mana telah saya buat untuk orang Rembau,” katanya.