Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas 24 jam pengumuman calon BN Pahang 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas 24 jam Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan nama calon untuk 41 daripada 42 kerusi DUN yang akan bertanding dalam PRU15, sehingga petang ini, calon untuk kerusi DUN Cheka belum dimaklumkan kepada media. 

Pengumuman calon pagi semalam di Kuantan juga bermula dengan sedikit drama apabila wakil MIC ‘dinasihatkan’ untuk tidak hadir dan diarahkan ke ibu negara bagi menghadiri mesyuarat bersama pimpinan MIC Pusat. 

Namun, calon untuk kerusi DUN Sabai daripada MIC, V Arumugam yang juga pengerusi MIC Pahang muncul lewat petang semalam bagi menerima watikah daripada Wan Rosdy. 

Difahamkan, calon untuk kerusi DUN Cheka terpaksa ditukar di saat akhir selepas Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di situ. 

Tuan Ibrahim Tuan Man

Pada PRU14, kerusi DUN Cheka ditandingi dan dimenangi calon daripada MCA, Lee Ah Wong dengan majoriti 202 undi, menewaskan calon PAS dan PKR. 

Norolazali digugurkan

Selain kerusi DUN Cheka, turut menjadi perhatian ialah kerusi DUN Guai selepas penyandangnya, Norolazali Sulaiman digugurkan. 

Norolazali adalah exco Kerajaan Pahang dan sudah menjadi ADUN kawasan itu sejak tahun 2008. 

Dia digantikan oleh Ketua Wanita Umno Bera, Sabariah Saidan yang dikatakan lebih rapat dengan ketua Umno Bera yang juga perdana menteri sementara ketika ini, Ismail Sabri Yaakob. 

Norolazali Sulaiman

Semua exco kerajaan Pahang yang lain terus dicalonkan BN Pahang walaupun ada antaranya sudah bertapak lebih lima penggal di kerusi disandang mereka. 

Antara exco yang terus dipertaruhkan BN Pahang ialah Mohd Soffi Razak (sejak 1999-Benta), Mohd Johari Hussain (sejak 2008-Tioman), Abdul Aziz Mat Kiram (2007-Batu Talam), Abdul Rahim Muda (satu penggal- Lepar), Nazri Ngah (satu penggal- Pulau Tawar) dan Mohammad Fakharuddin Mohd Ariff (sejak 2013- Bebar) 

Dua lagi exco Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin dan Shahaniza Shamsuddin diberi peluang bertanding di kerusi parlimen Temerloh dan Maran. 

Mohd Sharkar meninggalkan kerusi DUN Lanchang yang dimenanginya sejak tahun 1999, manakala Shahaniza pun melepaskan DUN Kuala Sentul disandangnya bermula tahun 2008. 

Namun, pencalonan Shahaniza di Maran mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong kepada penyandang kerusi itu, Ismail Abdul Muttalib. 

Ismail adalah bekas ketua Umno Maran sebelum tewas di tangan Shahaniza dalam pemilihan peringkat bahagian pada 2018. 

Shahaniza Shamsuddin

Walaupun tidak memegang jawatan dalam Umno Maran, Ismail yang sudah menjadi ahli parlimen sejak tahun 2004 dan pernah dilantik timbalan menteri sumber manusia dan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan. 

Dia juga masih mempunyai pengaruh yang besar di kawasan Maran. 

Bekas exco Pahang, Shafik Fauzan Sharif sekali lagi dipilih untuk mempertahankan kerusi DUN Inderapura yang dimenanginya sejak tahun 2004. 

Pencalonan anak Najib, Mohd Nizar di DUN Peramu Jaya pula dilihat sebagai usaha awal untuk meneruskan kesinambungan legasi keluarga Razak Hussein dalam arena politik di Pahang. 

Mohd Nizar ketika ditemui semalam bagaimanapun berharap pengundi tidak memilihnya atas dasar dia mempunyai pertalian darah dengan bekas perdana menteri keenam itu. 

“Mungkin ia sedikit mempengaruhi, tetapi selebihnya saya harap mereka (pengundi) boleh menilai perkhidmatan yang saya lakukan sejak beberapa tahun lalu di kawasan Pekan,” katanya. 

Kerusi rebutan Umno-MCA

Kerusi Parlimen Kuantan, Indera Mahkota dan Raub sebelum ini menjadi rebutan antara Umno dan MCA. 

Naib Pengerusi MCA, Ti Lian Ker pada Selasa memaklumkan parti itu mendapat kerusi parlimen Indera Mahkota, Raub dan Bentong dalam PRU15. 

Ti Lian Ker

Ti sebelum ini dilihat ingin mencuba nasib di parlimen Kuantan, namun mengalah selepas Umno diberikan tugas bertanding di kerusi itu. 

Setiausaha akhbar menteri besar Pahang, Mohd Fadzli Mohamad Kamal pula dicalonkan di Dong selepas penyandangnya, Shahiruddin Ab Moin membuat keputusan untuk bersara. 

Shahiruddin menyandang kerusi itu sejak tahun 1995 dan pernah dilantik sebagai exco Pahang.