Skip to main
Logo Malaysiakini

Sumber: Nasib Noh di Tanjong Karang belum diputuskan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nasib Pengerusi Umno Selangor Noh Omar masih tidak dapat dipastikan dengan perbincangan berhubung sama ada dia akan diletakkan sebagai calon di kerusi Parlimen Tanjong Karang atau tidak masih belum selesai.

Sumber dalaman Umno berkata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi akan membuat keputusan muktamad hari ini sama ada Noh akan digantikan dengan Ketua Wanita Umno Tanjong Karang, Habibah Mohd Yusof atau tidak.

Sumber yang rapat dengan pejabat presiden Umno itu mendakwa nama Noh pada mulanya tiada dalam senarai calon PRU15 namun dia masih berusaha untuk dicalonkan di kerusi tersebut, yang telah dipenggangnya selama enam penggal.

"Dia (Noh) tengah cuba sedaya upaya, dia tengah cuba pujuk (Zahid agar dia dibenarkan mempertahankan Tanjong Karang).

"Rancangan adalah untuk letak ketua wanita (bahagian) Habibah," katanya.

Ditanya sebab ingin menggugurkan Noh, dia berkata Noh dilihat sebagai "liabiliti" kepada Umno, tanpa memberi penjelasan lanjut berkenaan perkara itu.

Pada Selasa lalu, Zahid yang juga presiden Umno mengumumkan senarai calon yang akan mewakili BN pada PRU15.

Seramai 13 penyandang, termasuk tokoh veteran Umno, digugurkan, iaitu Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Shahidan Kassim (Arau), Annuar Musa (Ketereh), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Ismail Abdul Muttalib (Maran), Dr Adham Baba (Tenggara) dan Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Pada masa sama, Zahid tidak mengumumkan calon bagi enam kerusi Parlmen, termasuk Tanjong Karang. Zahid kemudian memberitahu pemberita bahawa calon di kawasan tersebut akan dimuktamadkan nanti.

Penyandang kerusi Parlimen yang digugurkan, seperti Tajuddin, Shahidan dan Annuar, dikenali sebagai mereka yang tidak menyokong kepimpinan Zahid dalam Umno.

Bagi Noh pula, sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa ada pemimpin Umno yang tidak senang dengannya, ekoran dia didakwa membuat perbincangan dengan pihak di luar BN di Selangor.

Namun, Zahid mungkin masih menyimpan pandangan positif terhadapnya, memandangkan dia antara 13 ahli Parlimen Umno yang menyokong langkhnya untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, pada Julai tahun lalu.

Noh mula menjadi ahli Parlimen Tanjong Karang pada 1995 dan sejak itu berjaya mempertahankannya sehingga PRU lalu.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Noh untuk mendapat ulasannya berkenaan perkara ini.

Habibah belum dapat watikah

Sementara itu, Habibah ketika dihubungi mengesahkan dia telah didekati oleh kepimpinan Umno untuk menjadi calon di Tanjong Karang.

Habibah berkata, keputusan belum dimuktamadkan dan dia juga belum menerima watikah sebagai calon daripada Umno.

"Terpulang kepada presiden, itu hak dan prerogatif presiden. Sebagai orang parti, saya akur (terhadap sebarang keputusan)," katanya.

Ahli Jawatankuasa Wanita Umno itu juga berkata Umno Tanjong Karang telah menghantar lima nama untuk dipertimbang Zahid sebagai calon di situ.

"Kita sudah minta presiden putuskan, jadi biarlah dia putuskan. Apabila dia sudah putuskan, kita sepatutnya berlapang dada dan menerimanya," katanya lagi.

Ditanya jika dia bimbang berlaku sebarang tindak balas daripada Umno bahagian jika Noh tidak dicalonkan, Habibah berkata dia yakin akar umbi parti akan menyokong mana-mana calon yang dipilih kepimpinan tertinggi.

"Saya sudah terlibat dalam politik di Tanjong Karang selama 32 tahun. Berdasarkan pengalaman saya, akar umnbi di sini sangat kuat (setia) kepada parti.

"Jadi sesiapa juga pemimpin hantar sebagai calon, mereka akan sokong. Mereka tak akan berpusing (tukar sokongan), yang berpusing ini mungkin kepimpinan yang ada kepentingan," katanya lagi.