Skip to main
Logo Malaysiakini

PN Perlis umum calon malam ini: Shahidan, Zahidi dalam senarai?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nasib dua tokoh handalan BN sama ada akan diberi laluan oleh Perikatan Nasional (PN) di Perlis akan diketahui malam ini.

PN Perlis dijadual mengumumkan calon-calon mereka di Kompleks PAS Perlis, Kangar malam ini.

Media petang ini melaporkan Shahidan mengesahkan dia akan bertanding atas tiket PN manakala Zahidi pula masih berunding mengenai lambang apa yang akan digunakan.

Kedua-dua mereka adalah menteri dan timbalan menteri bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri yang ‘dipancung’ oleh Presiden Umno Zahid Hamidi.

Zahid Hamidi

Shahidan berkata dia akan menggunakan pilihan raya kali ini untuk menyatukan Umno, PAS dan Bersatu–usaha yang dipelopori PAS tetapi tidak menjadi kenyataan.

“Saya akan bertanding atas satu parti yang berasaskan Umno, PAS dan Bersatu yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Walaupun Umno pun memperjuangkan agama, bangsa dan negara namun ia kini dipimpin oleh seorang yang mengkhianati keputusan bahagian terutama di Arau,” ketua Umno Arau itu dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Zahidi petang ini dilaporkan berkata belum dapat memastikan bertanding atas tiket gabungan mana memandangkan perbincangan masih berjalan. 

Arau, bandar riraja dan ibu kota Perlis, gambar hiasan

Seperti Shahidan, dia juga menempelak Umno sebagai “bercelaru” kerana menyingkirkan calon yang menurutnya berpeluang menang.

Malaysiakini telah menghubungi Shahidan dan Zahidi dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Shahidan dan Zahidi ialah orang lama dalam politik Perlis. 

Shahidan pernah menjadi menteri besar Perlis dan pengerusi BN negeri. 

Dia juga pernah menumpas dua mursyidul am PAS, iaitu Hashim Jasin pada 2018 dan Haron Din pada 2013.

Zahidi pula sudah dua penggal menjadi penyandang kerusi Padang Besar.

Perlis hanya mempunyai tiga kerusi parlimen. Satu lagi ialah Kangar yang kini disandang oleh pemimpin PKR Amin Ahmad sejak pilihan raya umum lalu.

BN mengumumkan “anak murid” Shahidan, Rozabil Abd Rahman sebagai calon BN di Arau. 

Padang Besar pula akan ditandingi oleh Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan yang bukan berasal daripada negeri itu.