Skip to main
Logo Malaysiakini

TikTok sasar perkasa belia melalui kempen PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 bulan ini, platform media sosial TikTok melancarkan kempen yang bertujuan memperkasakan belia.

Kempen itu - yang digelar #BeliaSediaUndi - akan merangkumi pelancaran panduan pilihan raya khusus dalam dwibahasa, jangkauan belia yang strategik dan dasar yang diperkukuh untuk akaun kerajaan, ahli politik dan parti politik (GPPPA).

“Kami mahu terus mengambil langkah ke arah memastikan kandungan ini selamat, bermaklumat dan paling penting, tepat pada masa pengguna kami perlu mengikuti perkembangan semasa di Malaysia.

"Kami memandang serius pengalaman pengguna kami dan mahu menghalakan mereka kepada sumber dan maklumat di platform yang boleh dipercayai," kata Kristoffer Rada, yang merupakan Ketua Dasar Awam di TikTok Malaysia.

Menurut platform video pendek itu, kempen berkenaan dibuat selepas pelaksanaan Undi18 - yang dijangka menyumbang 5.8 juta pengundi kali pertama - dan berusaha untuk melengkapkan belia Malaysia dengan pengetahuan yang diperlukan untuk mengambil bahagian dalam amalan demokrasi.

Pengguna TikTok akan dapat menggunakan panduan pilihan raya itu di platform untuk maklumat berkaitan pilihan raya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.

Platform itu juga akan bekerjasama dengan Agence France-Presse (AFP) dalam tempoh ini - selaras dengan usaha semakan fakta untuk mengekang penyebaran maklumat salah pada aplikasi berkenaan.

Pada bulan September, TikTok mendedahkan perubahan pada dasarnya untuk GPPPA yang menghalang mereka daripada peluang pengewangan di TikTok.

Dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang, oleh itu, akaun milik ahli politik dan parti politik akan dihadkan daripada mempunyai akses kepada ciri pengiklanan.

Ini termasuk ciri pemberian hadiah, pemberian tip dan e-dagang di TikTok.

Akaun yang termasuk dalam kategori GPPPA juga akan dinafikan keupayaan untuk berkongsi video mencari derma atau mengarahkan orang ke halaman derma di tapak web mereka.

Ini bertujuan untuk membolehkan orang ramai membincangkan isu penting yang berkaitan dengan kehidupan dan situasi semasa mereka sambil pada masa yang sama, melindungi 'ruang selamat' yang dipupuk oleh TikTok.

"Kami masih tidak melihat TikTok sebagai tempat untuk isu politik yang memecahbelahkan. Sebabnya adalah konsisten dengan misi TikTok - iaitu untuk memberi inspirasi kepada kreativiti dan membawa kegembiraan.

"Kami masih melihat TikTok sebagai tempat di mana orang ramai boleh menyatakan pendapat politik yang tulen, namun tetap menghormati dan tidak terlibat dalam banyak isu kebencian negatif dan memecahbelahkan yang berleluasa di platform lain," kata Rada.