Skip to main
Logo Malaysiakini

Salahuddin: Tiada lagi isu Amanah Johor tak puas hati agihan kerusi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi PH Johor Salahuddin Ayub berkata sebarang rasa tidak puas hati dalam Amanah berhubung isu pengagihan kerusi telah selesai.

Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah berkata ia selaras dengan amalan disiplin dalam PH untuk menerima keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi.

Amanah sebelum ini menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai untuk ditandingi Muda.

"Bagi saya isu itu telah berlalu, telah selesai (water over the dam, water under the bridge).

"Tak ada pertikaian lagi. Ini disiplin kita dalam PH," katanya ketika sidang media bersama pemimpin PH di Johor Baru, selepas acara memperkenalkan 26 calon parlimen gabungan itu di Johor.

"Kita boleh bincang, boleh berkeras, boleh perjuangkan (soal kerusi) tetapi bila (pemimpin) top five buat keputusan, kita akur walaupun ada tak puas hati. Yang penting, satu musuh kita mesti tumbangkan," katanya yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dalam PRU ini.

Pada minggu lalu, anggota jawatankuasa kerja (AJK) Amanah Johor Mazlan Aliman mengkritik kepimpinan tertinggi parti itu yang menurutnya "begitu lemah" dalam mengendalikan rundingan kerusi, menyebabkan Tanjung Piai perlu diserahkan kepada Muda.

Ia di saat Amanah mendapat kerusi lebih sedikit berbanding PKR dan DAP di negeri itu.

Mazlan membangkitkan semula saat Amanah perlu menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa - kerusi campuran yang dianggap kerusi selamat - kepada Muda pada PRN Johor awal tahun ini.

Hari ini, Salahuddin berkata PH Johor menyasarkan untuk mengekalkan kemenangan di kesemua 18 kerusi yang disandang selain menyasarkan kemenangan di empat lagi kerusi - Tenggara, Pengerang, Sembrong dan Pontian.

Syed Ibrahim

Sementara itu, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh turut menyuarakan sentimen sama ketika diminta mengulas isu partinya terpaksa menyerahkan kerusi Pontian kepada DAP.

"Kita akur dengan disiplin. Saya perlu akui agak mengejutkan tetapi sebab kita percaya dan yakin kepada keputusan kepimpinan tertinggi.

"Saya telah mohon supaya akar umbi terima (keputusan) dan beri sokongan...Yang penting kita ada satu matlamat yang sama," katanya yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Ledang.

Semalam Setiausaha Agong DAP Anthony Loke mengesahkan selepas rundingan lanjut dibuat, DAP akan meletakkan calon di Pontian.

Dia mengumumkan muka baru, Shazwan Zainal Abidin sebagai calon di kerusi Parlimen itu.