Skip to main
Logo Malaysiakini

PN Perak belum putuskan calon MB

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perikatan Nasional (PN) Perak masih belum memilih individu untuk dinamakan sebagai calon menteri besar jika menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Setiausaha PN negeri Zainol Fadzi Paharudin berkata mereka belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung perkara itu.

“Kepimpinan PN akan memutuskan perkara ini, ada rancangan untuk ini.

“Apabila penamaan calon selesai, akan ada pengumuman yang dibuat oleh pucuk pimpinan negeri, sama ada mengenai calon menteri besar atau manifesto.

"Apa yang penting sekarang ialah kita telah mengerahkan jentera peringkat parlimen kita dari 13 hingga 22 Okt," katanya.

Awal hari ini, Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Zainal Azman Abu Seman sebagai calon menteri besar negeri perak sekiranya gabungan itu muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya akan datang.

Ditanya sama ada calon PN akan mengisytiharkan harta mereka menjelang pilihan raya, Zainol berkata satu mesyuarat akan diadakan di peringkat negeri esok mengenai perkara itu.

“Dalam mesyuarat esok, kita akan membincangkan langkah positif untuk meyakinkan rakyat betapa seriusnya kita dalam menangani isu rasuah, kleptokrasi dan salah guna kuasa.

“Sekiranya ada arahan untuk kami mengisytiharkan harta kami, saya yakin semua calon akan akur, tiada masalah,” katanya.

Sementara itu, Zainol juga berkata terdapat sedikit perubahan pada senarai calon yang bertanding yang diumumkan pada Selasa.

Di Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali telah dinamakan sebagai calon PN bagi kerusi DUN itu, manakala Sallehuddin Abdullah akan bertanding di Selinsing.

Sementara itu, M Kalidass yang sebelum ini diumumkan sebagai calon Jelapang digantikan dengan S Navinten.

Bagi calon di DUN Pengkalan Baharu dan Malim Nawar yang tidak diumumkan sebelum ini, Ahmad Faisal Mansor dan Sharifah Aemeera Najwa Syed Mohamed masing-masing akan bertanding di kerusi berkenaan.