Tetap bertanding di Batu? Tian Chua cetus tanda tanya
Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua membuatkan ramai tertanya-tanya jika dia akan tetap bertanding semula di kerusi Parlimen Batu, walaupun setelah digugurkan oleh parti itu.
Tian Chua yang pernah menjadi ahli parlimen Batu selama dua penggal hari ini muncul dalam rancangan bual bicara "Malaysia 360" bersama-sama peguam Siti Kasim - yang juga dilaporkan akan bertanding di situ - untuk membincangkan PRU15.
Sebaik sahaja rancangan bermula, skrin memaparkan Tian Chua, 58, menyertai rancangan itu di atas kapasiti calon Parlimen Batu.
Penonton turut melontarkan soalan sama di ruangan komen siaran langsung di Facebook. Rancangan itu turut disiarkan secara langsung di Youtube.
Ditanya sama ada dia akan bertanding di Batu atau tidak, seperti yang dipaparkan pada skrin, dia membiarkan pengacara Syed Munawar Syed Mustar untuk menjawabnya.
"Memang Tian akan bertanding di Batu," kata Syed Munawar. Kedengaran suara Tian Chua - yang menyertai rancangan itu menerusi panggilan video - ketawa dengan jawapan itu.
Pada PRU 2018, dia menyokong calon bebas P Prabakaran selepas dia hilang kelayakan untuk bertanding.
Nama Chua tidak tersenarai dalam calon PKR pada PRU kali ini, dipercayai kerana dia dilihat sebagai pemimpin PKR yang menyokong bekas timbalan presiden Azmin Ali.
Ketika pemilihan PKR pada Mei lalu, Prabakaran menewaskan Tian Chua dalam persaingan sengit untuk jawatan ketua cabang Batu.
Parlimen Batu memiliki 113,519 pengundi berdaftar. Kerusi itu juga dijangka menerima 40,000 pengundi baru untuk PRU kali ini.
Jika benar dia akan bertanding, masih tidak jelas jika dia akan menjadi calon bebas atau bertanding di bawah parti lain. Turut menjadi persoalan adalah kesan terhadap hubungannya dengan PKR, parti yang sekian lama dianggotainya.
Malaysiakini telah menghubungi PKR untuk mendapatkan respons parti itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai