Skip to main
Logo Malaysiakini

Usaha ramaikan calon wanita BN terkesan dek sikap penyandang kerusi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selain mengambil kira aspek taktikal, usaha meletakkan lebih ramai calon wanita bagi mewakili BN turut 'terganggu' dengan sikap sesetengah pemimpin parti.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam isu gender parti itu memang cuba sebaik mungkin untuk mengisi keperluan semasa dan memenuhi permintaan golongan wanita.

Pun begitu, katanya, dalam usaha tersebut Umno-BN berdepan dengan tentangan dari dalam parti sendiri.

"Misalnya ada calon penyandang (lelaki) tidak mahu memberikan laluan tersebut (kepada calon wanita) kerana masih mahu bertanding mengekalkan kuasa seperti di Padang Besar, Perlis.

"BN juga meletakkan calon wanita di Tanjung Karang, Selangor sebagai mengiktiraf peranan perjuangan wanita," katanya hari ini.

Untuk rekod di Padang Besar, kerusi itu akan ditandingi Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan, sekali gus bermakna penyandang sebelum ini, Zahidi Zainul Abidin, digugurkan.

Zahida Zarik Khan

Bagaimanapun langkah itu kelihatan tidak disenangi Zahidi. Pada 31 Okt lalu dia memberitahu Umno bahagian berkenaan menolak sesiapa saja calon dari luar untuk dibawa bertanding di situ.

Di Tanjung Karang, Ahmad Zahid sebelum ini mengumumkan BN akan mencalonkan ketua wanita Umno bahagian tersebut, Habibah Mohd Yusof.

Bagaimanapun setakat semalam, penyandang kerusi tersebut Noh Omar tidak menyerahkan watikah kepada Habibah.

Media melaporkan, Noh sudah memberikan watikah kepada semua calon BN Selangor kecuali untuk kerusi Tanjung Karang.

Tak boleh dedah senjata sulit

Sementara itu di Ketereh, BN mencalonkan Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin. Ia bermakna parti itu menggugurkan penyandang kerusi tersebut, Annuar Musa.

Namun keadaan kelihatan masih belum selesai apabila Annuar dilihat enggan tunduk kepada percaturan BN dan membayangkan akan mengambil langkah tertentu sebagai bantahan.

Kata Ahmad Zahid lagi langkan meletakkan calon lelaki juga sebahagian daripada strategi BN untuk memenangi PRU ke-15 selepas mendapati percaturan mereka menjadi semasa pilihan raya negeri di Johor dan Melaka.

Ketika berdepan dengan 'ibu segala pilihan raya' kali ini, menurutnya, banyak faktor yang diambil kira bagi mencapai kejayaan dan ia kadangkala sukar difahami atau kurang diyakini, malah dierlekeh pihak tertentu.

Hakikatnya, menurut bekas timbalan perdana menteri itu, BN tidak boleh mendedahkan strategi dan senjata sulit mereka.

"Dalam memastikan kemenangan, perjuangan parti merentasi agenda gender.

“Maknanya peranan gender penting, tapi aspek taktikal kawasan ditandingi calon juga (mengatasi) faktor gender," katanya.