Skip to main
Logo Malaysiakini

Sivarasa sahkan kesihatan jadi isu, akur keputusan Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyandang kerusi parlimen Sungai Buloh, Sivasa Rasiah mengesahkan kesihatannya menjadi isu yang dibincangkan ketika PKR mempertimbangkan sama ada untuk membenarkannya mempertahankan kerusi itu atau tidak, yang dimenanginya sejak 2008.

Menggesa polemik mengenai pencalonan Sungai Buloh dihentikan, mangsa kanser tiroid yang sembuh itu berkata pita suaranya terganggu, memaksanya menggunakan pembesar bunyi pertuturan (amplifer) untuk membantu dan melindungi suaranya.

Dia berkata Anwar pernah membangkitkan kebimbangan ini kepadanya sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Sivarasa, dia memberitahu Anwar akan mencari cara untuk menguruskannya.

“Sehingga pagi Jumaat lalu (28 Oktober) nama saya kekal sebagai calon Sungai Buloh.

“Kira-kira jam 5 petang pada hari itu, saya menerima mesej teks daripada Anwar Ibrahim mengatakan bahawa selepas perbincangan lanjut, dia telah memutuskan bahawa saya tidak akan menjadi calon.

"Anwar telah cuba menghubungi sejurus sebelum teks itu tetapi saya tidak dapat menjawab panggilan itu," katanya dalam satu kenyataan sambil menyatakan bahawa dia menerima sepenuhnya keputusan itu.

Jelasnya, rancangan BN untuk meletakkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga diketahui PKR lebih awal lagi.

"Saya minta agar polemik saya tidak menjadi calon ini dihentikan. Lebih penting fokus kepada kempen untuk Pakatan Harapan memenangi Putrajaya," kata Sivarasa.

Terdahulu, Anwar menjelaskan dia memutuskan untuk meletakkan bekas timbalan ketua penerangan parti R Ramanan di Sungai Buloh dan bukannya Sivarasa atas sebab kesihatan.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli semalam berkata dia mahu Sivarasa mempertahankan kerusi parlimen itu.

Rafizi berkata dia telah meminta Anwar untuk mempertimbangkan semula keputusannya selepas maklum balas daripada pengundi Sungai Buloh.

Keputusan untuk meletakkan calon baru Ramanan telah menimbulkan kekecohan, memandangkan kemenangan berturut-turut Sivarasa, dan fakta bahawa calon PKR itu akan menentang calon BN yang berpengaruh.

Khairy akan bertanding di Sungai Buloh buat kali pertama, selepas memberi laluan kepada Pengerusi BN Negeri Sembilan Mohammad Hassan di Rembau - kerusi yang dimenangi Khairy sejak 2008.

Sungai Buloh merupakan kubu kuat PH, dengan BN kalah di setiap daerah mengundi di sana pada pilihan raya umum lalu.

Tetapi Ramanan juga mempunyai kisah silam yang diungkit sesetengah pihak.

Ramanan (gambar, atas) pernah menjadi bendahari agung MIC pada 2014 tetapi melepaskan jawatannya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkannya memulangkan RM5.5 juta yang diperolehnya secara tidak sah daripada pakar psikiatri M Mahadevan.

Mahadevan berkata Ramanan memperdayakannya untuk percaya dia boleh mendapatkan semula RM26.5 juta yang terhutang kepada pakar psikiatri oleh Kementerian Pertahanan dalam bayaran sewa terkebelakang bagi sebidang tanah yang digunakan kementerian itu selama beberapa dekad.

Pada Jun 2014, Ramanan membatalkan rayuannya terhadap penghakiman itu dan memasukkan penghakiman persetujuan dengan Mahadevan untuk membayar RM5.5 juta itu.

Pada ketika itu, polis berkata telah menyerahkan kertas siasatan mengenai kes berkenaan kepada pejabat peguam negara, tetapi akhirnya tiada pertuduhan jenayah dibuat terhadap Ramanan.

[Baca berita asal]