Skip to main
Logo Malaysiakini

Bapa mahu ke mahkamah kes anak gadis dihukum sekolah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bapa kepada gadis pelajar berusia 13 tahun itu yang didakwa dihukum oleh seorang guru di sebuah sekolah menengah di Tasek Gelugor baru-baru ini berkata dia akan membawa perkara itu ke mahkamah.

R Mogan, 38, berkata dia akan memfailkan saman terhadap sekolah, guru, dan jabatan-jabatan yang berkaitan di Kementerian Pendidikan berhubung pengalaman pahit yang didakwa dialami oleh anak gadisnya susulan kenyataan jabatan pendidikan daerah bahawa tiada bukti untuk menyokong dakwaan pelajar berkenaan.

Pelajar Tingkatan Satu itu mendakwa dia dihukum oleh seorang guru, yang memaksanya melutut di atas jalan tar ketika panas dengan mengangkat kedua-dua tangan terangkat kerana memakai kasut jenis velcro dan bukannya yang bertali.

Dia juga mendakwa guru tersebut memaksanya menanggalkan kayiru (tali suci) di lenggan dan mengelap pottu (titik hitam tradisional) dan vibuthi (abu suci) dari dahinya.

Mogan berkata Jabatan Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara memberitahunya hari ini bahawa mereka telah menyiasat dakwaan itu dan mendapati tidak ada kebenaran dalam aduan itu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah, guru, jabatan pendidikan daerah dan negeri atas hukuman dan memalukan anak perempuan saya.

"Saya percaya bahawa pentadbiran sekolah dan jabatan pendidikan telah memusnahkan segala bukti dan cuba menutup keseluruhan isu itu," kata jurutera itu.

Menurut Mogan, anak perempuannya telah diugut oleh pegawai di jabatan pendidikan daerah di Kepala Batas supaya menafikan kejadian tersebut.

Seorang guru juga didakwa memberi tekanan kepada pelajar lain supaya tidak mendedahkan sebarang bukti, katanya.

“Sehari selepas kejadian, guru itu juga mengugut pelajar kelas anak perempuan saya supaya tidak memberitahu apa-apa mengenai kejadian itu atau guru dan pelajar akan dibawa dengan jip polis ke balai untuk siasatan.

“Saya percaya guru, guru besar dan jabatan pendidikan daerah cuba menutup kejadian itu, tetapi saya akan mengheret mereka ke mahkamah.

"Saya mahu keadilan ditegakkan dalam isu ini kerana saya merasakan anak perempuan saya dihukum secara tidak adil oleh guru itu," katanya.

'Penyiasatan berat sebelah'

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengecam jabatan pelajaran daerah atas apa yang dikatakannya sebagai siasatan yang dilakukan secara tergesa-gesa dan berat sebelah.

P Ramasamy

Dia berkata jabatan itu telah memanggil saksi yang menafikan dakwaan pelajar berkenaan.

"Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa polis tidak akan berpandukan kepada penemuan awal jabatan pendidikan daerah," katanya.

“Sekolah bertujuan untuk mendidik dan menjaga keselamatan pelajar. Guru adalah pembimbing kepada pelajar tetapi sudah tentu tidak boleh bertindak sebagai pembuli dan penzalim.”

Tambahnya, dia akan menulis surat kepada menteri pendidikan sementara Radzi Mohd Jidin untuk memohon supaya tugas guru itu digantung sementara menunggu siasatan polis.

Polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.