Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR umum tanding di 18 DUN Pahang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PKR mengumumkan akan bertanding di 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menampilkan 80 peratus calon muka baru, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata antara calon itu ialah bekas senator mewakili masyarakat Orang Asli Manolan Mohamad bagi DUN Kemayan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Bhd Datuk Seri Ahmad Omar (Sungai Lembing) dan bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Mohd Afandi Abd Rani (Luit).

Timbalan Ketua Cabang Kuantan Sim Chon Siang akan mempertahankan kerusi DUN Teruntum yang disandangnya sejak 2013 manakala Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Chan Chun Kuang dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi DUN itu apabila penyandang DUN berkenaan, Lee Chean Chung diumumkan sebagai calon Parlimen Petaling Jaya.

"Kita membariskan calon daripada pelbagai latar belakang seperti golongan profesional, aktivis masyarakat dan bekas kakitangan kerajaan yang boleh memberi saingan. Kita sedar dengan cabaran tertentu yang perlu dihadapi terutamanya di kerusi melibatkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN).

"Walaupun sukar, namun ia tidak mustahil kerana pengalaman kita menang di DUN Chini pada 1999 yang disifatkan sebagai kubu kuat BN walaupun dengan hanya majoriti lima undi," katanya pada sidang media di Temerloh hari ini.

Amirudin berkata pihaknya menjangkakan terdapat empat kerusi DUN yang berpotensi dimenangi pada PRU15, namun enggan mengulas lanjut.

Berdasarkan kedudukan semasa, PKR mempunyai dua kerusi di DUN Pahang iaitu Teruntum dan Semambu, manakala BN menguasai 25 kerusi, PAS (lapan) dan DAP (tujuh).

Ditanya mengenai calon menteri besar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) jika mereka berjaya membentuk kerajaan negeri buat kali pertama, Amirudin berkata masih terlalu awal untuk menentukannya walaupun setiap komponen PH Pahang mempunyai calon yang layak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 diadakan pada 19 Nov ini, dengan penamaan calon berlangsung esok sebelum disusuli pengundian awal pada 15 Nov ini.

Berikut adalah senarai bakal calon PKR bagi kerusi DUN Pahang yang akan bertanding di atas tiket PH:

  • N02 Jelai - Ismail Mohd Hussin

  • N04 Cheka - Profesor Madya Dr Rasid Muhamad

  • N05 Benta - Rizal Jamin

  • N06 Batu Talam - Shahuddin Abdul Rahman

  • N10 Damak - Mohamad Rafly Mohd Satar

  • N13 Semambu - Chan Chun Kuang

  • N14 Teruntum - Sim Chon Siang

  • N16 Inderapura - Fakhrul Anuar Zulkawi

  • N17 Sungai Lembing - Datuk Seri Ahmad Omar

  • N19 Panching - Haslindalina Hashim

  • N23 Chini - Mohamad Yazid Che Mat

  • N24 Luit - Mohd Afandi Abd Rani

  • N25 Kuala Sentul - Amran Tahir

  • N27 Jenderak - Mohamad Hafez Harun

  • N31 Lanchang - Rosli Ismail @Ahmad

  • N39 Kemayan - Manolan Mohamad

  • N40 Bukit Ibam - Barirah Mohd Mokhtar

  • N41 Muadzam Shah - Norlaily Forizad

    - Bernama